APLIKASI PARKMAX@MBIP MUDAHKAN PENGGUNA


YB Dato’ Mohd Haffiz Ahmad, Datuk Bandar Iskandar Puteri merasmikan Majlis Soft Launch Smart Parking PARKMAX @ MBIP. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dengan kerjasama Syarikat Southmax Sdn. Bhd hari ini melancarkan aplikasi PARKMAX@MBIP yang dilihat mampu menangani isu parkir di kawasan pihak berkuasa tempatan itu.

 

Melalui inisiatif ini para pengguna tidak lagi perlu membeli kupon daripada agen penjualan kupon sebaliknya boleh terus membeli kupon, menambah waktu tambahan parkir, serta membayar kompaun secara atas talian menggunakan aplikasi tersebut yang membabitkan 32,205 lot parkir kendalian  MBIP.

 

Pengguna aplikasi PARKMAX@MBIP juga akan menikmati kemudahan parkir secara percuma selama sebulan bermula 1 April ini manakala caj RM0.40 untuk tempoh 30 minit dan caj RM0.60 tempoh satu jam akan dikenakan bermula 1 Mei kelak.

 

Pihak MBIP menjangkakan penggunaan kemudahan parkir secara digital ini akan dapat digunapakai menjelang 2025 ini, namun penggunaan kupon parkir fizikal masih dibenarkan sehingga hujung tahun ini.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Haffiz Ahmad, Datuk Bandar Iskandar Puteri hadir menyempurnakan perasmian Majlis Soft Launch Smart Parking PARKMAX @ MBIP yang mana akan digunakan juga oleh dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain iaitu Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) serta Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) kelak.

 

Aplikasi PARKMAX@MBIP merupakan salah satu inisiatif parkir pintar yang diilhamkan bagi memberi nafas baru selain beralih ke transformasi digital kepada pengurusan tempat letak kenderaan di kawasan pentadbiran MBIP selari dengan visinya untuk menjadi bandaraya pintar, mampan dan sejahtera.

 

#BangsaJohor 

#MediaDigitalJohor 

#SahihTepatPantas 

#MajuJohor