MAHSYAR 2023-2027 TINGKAT INTEGRITI JKSNJ


Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani merasmikan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor (JKSNJ). | Foto MDJ Nurul Huda Mahsen

 

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor (JKSNJ) melancarkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) sebagai panduan melaksanakan tugas dan perkhidmatan dengan amanah serta berintegriti tanpa ketirisan atau penyalahgunaan kuasa.

 

Pelan yang dijenamakan semula dengan nama Mahkamah Syariah Anti Rasuah (MAHSyAR) JSKNJ 2023-2027 ini menggariskan empat strategi, 12 objektif dan 16 inisiatif untuk diterjemahkan dalam tindakan bagi tempoh lima tahun.

 

Kesemua empat strategi tersebut adalah tadbir urus, pengurusan dan sumber manusia, perolehan dan kewangan serta operasi.

 

Pembangunan pelan ini mencerminkan kesungguhan JKSNJ meningkatkan tahap integriti di kalangan warga kerjanya sekali gus memperkukuhkan kecekapan penyampaian perkhidmatan jabatan.

 

Hadir menyempurnakan pelancaran MAHSyAR JKSNJ 2023-2027 adalah Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani yang diiringi oleh Ketua Hakim Syarie JKSNJ, Muhammad Khaldun Mohamad Sharif.

 

Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor, Dato’ Azmi Alias; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pemantauan Projek & Kesejahteraan Rakyat), Shubanah Yusuf dan Pengurus Besar Kanan Bahagian Khidmat Korporat Institut Integriti Malaysia (IIM), Mahummar Gadaffi Sorilaut Omar.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor