ENAM PPS BEROPERASI SUSULAN BANJIR DI TIGA DAERAH


Enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan beroperasi susulan kejadian banjir melanda tiga daerah di negeri ini, antaranya daerah Kluang | Sumber Facebook Apm Kluang.

 

ISKANDAR PUTERI — Enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan beroperasi susulan kejadian banjir melanda tiga daerah di negeri ini.

 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Johor dalam satu laporan jam 1 petang tadi memaklumkan tiga daerah yang terjejas adalah Kota Tinggi, Kluang dan Segamat.

 

Enam PPS yang dibuka dan beroperasi adalah Dewan Kampung Baru Sungai Mas, SJKC Ping Ming, SMK Seri Perdana, Dewan Serbaguna Pekan Air Panas, Dewan Kampung Sungai Gatom dan Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah.

 

Kesemua PPS menempatkan terbabit menempatkan keseluruhan 74 keluarga terdiri daripada 298 penduduk di ketiga-tiga daerah.

 

Di Kota Tinggi, enam keluarga terdiri daripada 41 penduduk dari Kampung Baru Sungai Mas ditempatkan di PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas.

 

Sementara itu, sembilan keluarga terdiri daripada 26 penduduk dari SPKR Yap Tau Sah dan Kampung Palembang ditempatkan di PPS SJKC Ping Ming dan PPS SMK Seri Perdana di Kluang.

 

Bagi banjir di Segamat pula, 59 keluarga terdiri daripada 231 penduduk dari Kampung Pekan Air Panas, Kampung Sungai Gatom dan Kampung Paya Merah ditempatkan di Dewan Serbaguna Pekan Air Panas, Dewan Kampung Sungai Gatom serta Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah.

 

Dalam laporan sama, turut dimaklumkan empat lembangan sungai menunjukkan aras air di tahap Bahaya iaitu Sungai Gemas, Sungai Lenik, Sungai Segamat dan Sungai Kahang, manakala Sungai Muar di tahap amaran.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor