JELAJAH MUO SEBAGAI PERSEDIAAN TAHUN MELAWAT JOHOR 2026


Pejabat Daerah Muar dengan kerjasama Tourism Johor memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, promosi destinasi pelancongan serta peningkatan kemudahan dan perkhidmatan menjelang Tahun Melawat Johor 2026. | Foto Wira Anggara

 

Belum pun genap setahun menjelang Tahun Melawat Johor 2026, Muar menjadi daerah pertama di negeri yang giat mempromosi sektor pelancongan menerusi penganjuran Program Jelajah Muo 1.0 yang bermula semalam dan hari ini.

 

Inisiatif yang dilaksanakan oleh Pejabat Daerah Muar dengan kerjasama Tourism Johor memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, promosi destinasi pelancongan serta peningkatan kemudahan dan perkhidmatan bagi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke Muar.

 

Malah program yang menyokong aspirasi agenda Maju Johor ini juga turut mengetengahkan pelbagai keistimewaan Muar yang bukan sahaja terkenal sebagai gelaran ‘Bandar Maharani Bandar Diraja’, tetapi juga kaya dengan sejarah budaya bangsa yang mengagumkan.

 

Lebih menarik lagi, Muar juga merupakan antara daerah tertua di Johor dan ia dahulunya pernah dikenali sebagai kawasan strategik dalam hal ehwal perdagangan dan pertahanan terutama selepas era kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.

 

Kini, sebagai daerah yang menjanjikan 1,001 destinasi pelancongan menarik, Muar turut mempunyai beberapa ‘spot’ menarik yang wajib dilawati antaranya Muar River Cruise, Kopi 434 Muar, Kasia Pillai Muar, Restoran Mi Bandung Abu Bakar Hanipah, Masjid Sultan Ibrahim, Laman Bakau, Keraton Embah Anang, D’Impian Agro Farm, Kolam Air Panas Sg Gersik, Masjid Saidina Ali, Medan Ikan Bakar Sabak Awor, Lorong Kopi-Kopi dan Muar Up Town.

 

Terdahulu, YBhg. Tuan Haji Zainal Eran, Pegawai Daerah Muar hadir merasmikan Program Jom Jelajah Muo 1.0 bagi Tahun 2024 di Laman Maharani Energy Gateway Tanjung Emas, Muar.

 

#JelajahMuo
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor