KKM LULUS PERUNTUKAN NAIK TARAF KK AYER HITAM : EXCO KESIHATAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi kerja menaik taraf bangunan utama. | Foto ihsan FB AH SOON

 

ISKANDAR PUTERI — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan peruntukan RM1 juta bagi menaik taraf Klinik Kesihatan Ayer Hitam yang sudah beroperasi sejak tahun 1986.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi kerja menaik taraf bangunan utama.

 

“Kerja menaik taraf bangunan utama klinik kesihatan termasuk mengecat, penggantian pendawaian elektrik, penukaran pintu yang rosak dan penggantian bumbung.

 

“Selain itu, penggantian siling, penaiktarafan Unit Makmal, menaik taraf tandas, penambahan sistem penghawa dingin, pembaikan longkang, pembinaan pagar, penambahan tempat letak kereta serta kerja-kerja lain,” kata beliau dalam Facebook rasminya pada Isnin.

 

Tian Soon berkata, baki iaitu RM500,000 lagi diperuntukkan untuk menaik taraf kuarters terletak di belakang KK Ayer Hitam.

 

“Kawasan itu mempunyai 15 buah asrama kakitangan dan dengan peruntukkan ini dapat meningkatkan keselesaan dan keselamatan di kuarters,” katanya.

 

Beliau memberitahu Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang, Datuk Samsolbari Jamali sebelum ini pernah meminta KKM untuk menaik taraf klinik kesihatan terbabit.

 

“Ini juga merupakan harapan penduduk Ayer Hitam, kini ianya sudah direalisasikan. Kami berharap projek kerja-kerja menaik taraf dapat dijalankan dengan lancar tahun ini,” katanya.

 

Selain itu, beliau turut memaklumkan Klinik Desa Parit Amil juga akan diperuntukkan RM600,000 bagi projek membina bangunan baharu klinik.

 

“Dengan peruntukan ini, sebuah klinik desa akan dibina dan turut menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada penduduk setempat,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor