JOHOR PACU PEMBANGUNAN PESAT DAN SEIMBANG
#IskandarPuteri – Tahun 2025 menjadi tahun penting bagi Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan pelaburan di negeri ini terus meningkat dan seimbang pada masa akan datang, terutama melibatkan beberapa kawasan tumpuan seperti di ‘The Greater JB’, Pengerang serta wilayah Johor Utara.
Rangkaian kawasan tersebut telah menarik minat pelabur berikutan gerak kerja strategik bagi menyediakan pelbagai infrastruktur lengkap dan sesuai untuk pembangunan industri serta dasar mesra pelabur yang membolehkan pembangunan projek dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan.
Selain itu, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Invest Johor bagi menarik pelaburan ke negeri ini seperti Misi Galakan Pelaburan dan Johor Go Global telah membuahkan hasil apabila sejumlah RM19 bilion dicatatkan sehingga suku ketiga tahun lalu, disokong dengan strategi pembangunan lebih seimbang dan inklusif.
Sementara itu, Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) pula telah merekodkan pelaburan komited berjumlah RM139 bilion pada tahun 2023, sekali gus menjana 7,549 peluang pekerjaan dengan 6,898 tenaga kerja tempatan turut mendapat latihan kemahiran yang dikelolakan oleh Johor Petroleum Development Corporation Bhd. (JPDC).
Pembangunan di kawasan seperti Pengerang dapat memberikan peluang ekonomi yang lebih luas kepada masyarakat setempat dan selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memastikan segenap lapisan Bangsa Johor dapat menikmati kemakmuran hasil daripada pembangunan pesat di negeri ini.
Tumpuan juga diberikan Kerajaan Negeri kepada wilayah Johor Utara bagi menjadikan Muar dan Segamat sebagai hab pengeluaran lembu daging dan tenusu di Malaysia menjelang tahun 2030, manakala Segamat pula diberi tanggungjawab sebagai hab pertanian dan industri asas tani atau ‘Agriculture Powerhouse’.
Pembangunan yang lebih seimbang dan holistik ini dilihat berupaya meningkatkan taraf hidup rakyat dan mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih inklusif, sekali gus memacu Johor untuk terus berkembang menjadi sebuah negeri maju dan berdaya saing.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor