KAD SISWA JOHOR INISIATIF BAHARU UNTUK MAHASISWA ANAK JOHOR


Gambar hiasan. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Kerajaan Negeri bakal memperkenalkan Kad Siswa Johor bagi menyelaraskan segala bentuk bantuan mahupun pinjaman kewangan pendidikan kepada mahasiswa anak Johor di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam, Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ), Kolej Komuniti dan Politeknik.

 

Inisiatif baharu menerusi Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 75,000 mahasiswa itu bertujuan menggalakkan penggunaan perbankan secara atas talian melalui kad debit, payWave dan QRPay.

 

Buat masa ini, Kad Siswa Johor sudah dibuka untuk permohonan Skim Bantuan Pendaftaran ke IPT YPJ bagi mahasiswa anak Johor tahun 1 (semester pertama) yang mengikuti Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di IPTA, KYPJ, Kolej Komuniti dan Politeknik.

 

Dijangka akan diedarkan secara rasmi ketika Kongres Mahasiswa Johor dijadualkan berlangsung pada Ogos ini, Kad Siswa Johor itu memupuk ‘cashless society’ sekali gus mewujudkan ekosistem kewangan yang lebih baik kepada mahasiswa berdaftar.

 

Sektor pendidikan Orang Muda Johor terus diberikan penekanan oleh Kerajaan Negeri menerusi pelbagai inisiatif antaranya Skim Bantuan Pendaftaran ke IPT melibatkan peruntukan berjumlah RM11.1 juta.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut menyediakan peruntukan RM100,000 bagi menyediakan insentif khas kepada 50 pelajar cemerlang tertinggi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 yang akan menerima keputusan masing-masing esok.

 

Terdahulu, YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir Majlis Perasmian Penutup Program Benih Karya : Festival Seni @ PPAJ di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor