SV PRIHATIN@JOHOR FUTURE BAIK PULIH RUMAH DI 56 DUN


Mohd Hairi bersama-sama sukarelawan Southern Volunteers menjayakan program SV Prihatin@Johor Future di Kampung Kurnia, pada Ahad.

 

JOHOR BAHRU — Southern Volunteers (SV) menerusi program SV Prihatin@Johor Future melaksanakan aktiviti gotong royong membaik pulih 280 rumah terpilih di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM7,500 kepada setiap DUN bagi melaksanakan program tersebut.

 

“Alhamdulillah, program di bawah Pusat Pembangunan Belia Negeri Johor (JOYDEC) dengan kerjasama SV telah berjaya dilaksanakan di DUN Larkin. Program ini disasarkan kepada golongan kurang berkemampuan yang mana kami berhasrat untuk membantu mereka.

 

“Untuk makluman, setiap rumah yang dibantu diperuntukkan sebanyak RM1,500 di mana setiap DUN ada lima buah rumah. 56 DUN akan ada sebanyak lima buah rumah dan setiap rumah akan dibaik pulih dari segi dekorasi dalaman dan kerja-kerja pembersihan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai program SV Prihatin@Johor Future di DUN Larkin, di sini, hari ini.

 

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia, Sukarelawan), Dato’ ‘On Jabar.

 

Mohd Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, kira-kira 100 sukarelawan menyertai program yang secara rasminya bermula di DUN Larkin.

 

“Saya jangkakan program murni di bawah JOYDEC dan SV ini dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang. Peruntukan diberikan di setiap DUN itu terpulang kepada wakil rakyat untuk melaksanakan kerja-kerja terpilih mengikut keperluan.

 

“Ia termasuk mengecat, mencantas pokok, keperluan perabot, landskap dan dekorasi yang dijalankan secara bergotong royong,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor