KERAJAAN JOHOR BINCANG PEMBINAAN HSA2 DENGAN MENTERI KESIHATAN AHAD INI
ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan mengenai pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2) bersama Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa yang dijadualkan ke Johor pada Ahad ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pembinaan hospital baharu yang disifatkan sebagai sangat diperlukan itu diharapkan dapat diselesaikan pada kadar segera.
“Johor ini menjadi pusat, bukan sahaja untuk Johor dari segi pesakit-pesakitnya. Kita terima pesakit dari seluruh negara terutamanya dari Pahang, Negeri Sembilan dan juga Melaka.
“Jadi Insya Allah, saya percaya dengan kepimpinan yang ada di peringkat negeri dan kerjasama dengan peringkat persekutuan, apa yang kita hasratkan ini boleh kita capai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini, pada Jumaat.
Terdahulu, Menteri Besar Johor mengadakan lawatan ke HSI bagi melihat pengoperasian semula Wad 9A dan Wad 10A yang sebelum ini ditutup akibat kekurangan petugas.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon; Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Mohtar Pungut serta Pengarah HSI, Dr. Zuraini Zainal.
Onn Hafiz berkata, kedua-dua wad berkenaan sudah mula dibuka pada Rabu lalu, selepas penambahan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di hospital tersebut.
“Sudah ada penambahan dari segi staf daripada KKM seramai 33 orang untuk minggu ini. Dan Insya Allah akan ada tambahan 60 (orang) lagi jururawat pada bulan Julai untuk HSI dan 150 (orang) lagi untuk Hospital Sultanah Aminah (HSA).
“Dengan penambahan tenaga kerja, ia akan meringankan beban staf yang sedia ada dan menambahkan kecekapan di wad-wad,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak KKM selain Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana telah meluluskan penambahan petugas kesihatan itu.
“Namun begitu, saya hendak berkongsi bahawa Kerajaan Negeri juga tidak berpeluk tubuh. Kita bantu apa yang mampu seperti di HSI ini, lot parkir yang baru siap beberapa bulan yang lepas dengan peruntukan RM500,000 daripada Kerajaan Negeri.
“Kita tambah juga RM100,000 untuk dari segi peralatan, kerusi, meja dan sebagainya demi keselesaan petugas-petugas dan juga pesakit-pesakit di sini. Jadi ia adalah gabungan kerjasama yang baik antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor