KERAJAAN NEGERI KOMITED JAYAKAN JOHOR FAST LANE


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor. | Foto MDJ, Nurina Aisyah

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor komited melaksanakan ‘Johor Fast Lane’ bagi menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, komitmen tersebut dizahirkan kerana konsep ‘fast lane’ yang sudah dilaksanakan di Kulai dilihat berpotensi memberi limpahan ekonomi sekiranya diperluaskan ke Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain.

 

“Di peringkat PBT, kita telah memperkenalkan Kulai ‘Fast Lane’ yang telah berjaya mengurangkan kerenah birokrasi dan memudahkan pelabur untuk memulakan perniagaan.

 

“Sekarang dengan adanya ‘Johor Fast Lane’, mereka tidak perlu bersusah payah untuk sediakan segala macam jenis dokumen, ada yang makan masa sehingga setahun sekali gus membimbangkan para pelabur untuk masuk ke Negeri Johor,” katanya ketika ditemui dalam temubual eksklusif bersama Media Digital Johor.

 

Mohd Jafni berkata, konsep ‘fast lane’ juga telah mengurangkan tempoh kelulusan pembinaan fasiliti pelaburan yang masuk ke negeri ini, kepada empat bulan.

 

“Di peringkat PBT, kita akan sedaya upaya memudahkan urusan pelabur dari segi perlesenan, dokumentasi dan permohonan kerana kita mahu pelabur berasa selesa dan yakin untuk melabur di Negeri Johor.

 

“Kita perlu bergerak pantas dan menawarkan pelbagai inisiatif menarik kepada mereka (pelabur), dan secara tidak langsung dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Johor,” tambahnya.

 

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika amanatnya pada tahun lalu, menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri dalam mengurangkan karenah birokrasi dan ‘red tape’ dalam memudahcara pelabur untuk melabur di Johor.

 

Kejayaan pelaksanaan Kulai Fast Lane oleh Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) telah dijadikan sebagai contoh penambahbaikan tadbir urus yang perlu dijadikan teladan.

 

Malah beliau juga memberitahu konsep yang sama diperluaskan kepada semua PBT yang lain dan dikenali sebagai ‘Johor Fast Lane’.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor