AIR TERJUN GUNUNG LEDANG DIBUKA SEMULA SABTU INI


Air Terjun Gunung Ledang bakal dibuka semula Sabtu (8 Julai 2023) ini. | Foto ihsan: Facebook Johor National Parks.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) membuka semula pengoperasian Air Terjun Gunung Ledang kepada orang ramai bermula Sabtu ini.

 

PTNJ dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak perbadanan akan menganjurkan Karnival Gunung Ledang selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Julai ini, yang menampilkan pelbagai aktiviti dan pengisian menarik bersempena pembukaan semula air terjun itu.

 

Antaranya, Karnival Tanah Daerah Tangkak, pameran oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta, Fun Run, Fun Ride, gerai jualan, pemeriksaan kesihatan, pertandingan karaoke, motorbike show, pertandingan mewarna serta apresiasi bahasa dan sastera.

 

“Bagi menghargai kesabaran dan penantian semua pihak, PTNJ bersetuju untuk membenarkan orang awam masuk secara percuma dan tiada bayaran masuk serta tiket parkir kenderaan dikenakan sepanjang tempoh tiga hari karnival ini berlangsung.

 

“Justeru, orang ramai khususnya rakyat Johor dijemput untuk datang beramai-ramai bagi memeriahkan karnival berkenaan dan mengunjungi Air Terjun Gunung Ledang,” jelas PTNJ dalam kenyataan tersebut.

 

PTNJ juga memaklumkan pembukaan semula Air Terjun Gunung Ledang kepada orang ramai juga adalah usaha untuk membawa limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan dan masyarakat sekitar.

 

Selain itu, bagi memastikan keselamatan terkawal dan tahap kebersihan terjaga, jumlah kemasukan ke kawasan air terjun dihadkan kepada seramai 2,000 pengunjung pada satu-satu masa.

 

“Untuk makluman semua, resort untuk penginapan masih belum beroperasi dan kehadiran pelawat hanya melibatkan kemasukan harian.

 

“Para pelawat juga diminta membawa plastik sampah sendiri atau boleh membelinya daripada PTNJ bagi tujuan membawa keluar sampah masing-masing dari kawasan rekreasi berkenaan.

 

“Pihak pengurusan hanya menyediakan tong sampah di luar kaunter tiket masuk. Kerjasama dan kesedaran menjaga kebersihan di kawasan rekreasi adalah tanggungjawab bersama,” jelas PTNJ lagi.

 

Penutupan Air Terjun Gunung Ledang selama tempoh setahun sebelum ini, disebabkan pengambilalihan pengurusan daripada operator terdahulu selain pelaksanaan kerja baik pulih serta menaik taraf kemudahan awam di kawasan tersebut.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor