66.9 KILOGRAM SAMPAH DIKUMPUL MPP


Program ini bertujuan bagi membasmi kawasan pembiakan jentik-jentik, seterusnya membantu menghapuskan ancaman wabak denggi. | Foto ihsan Facebook Majlis Perbandaran Pengerang – MPP

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) terus komited menyahut seruan Kempen Johor Bersih menerusi Program Cegah Denggi di sekitar kawasan Bandar Mas, Kota Tinggi.

 

Seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada Skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) Bandar Mas, Klinik Bandar Mas dan anggota MPP membantu membasmi kawasan pembiakan jentik-jentik, seterusnya membantu menghapuskan ancaman wabak denggi.

 

Untuk rekod, Skuad Sukarelawan COMBI ditubuhkan sejak tahun 2001 yang terdiri daripada kalangan komuniti setempat sebagai penggerak atau ejen perubahan dalam aktiviti pencegahan denggi.

 

Memetik siaran dimuat naik dalam Facebook rasmi MPP, program ini turut menganjurkan pertandingan bagi meraikan peserta yang berjaya mencari tempat pembiakan jentik-jentik dan kutipan sampah terberat.

 

Program anjuran MPP ini membuahkan hasil apabila sebanyak 15 lokasi tempat pembiakan jentik-jentik dapat dikenal pasti dan telah dihapuskan, selain berjaya mengumpul sampah dikawasan berkenaan berjumlah 66.9 kilogram.

 

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Penawar, Fauziah Misri serta Ketua Jabatan Kesihatan Awam dan Pelesenan MPP, Norzahratul Nordin.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor