MOHON KERAJAAN PERSEKUTUAN BANTU ATASI KEKURANGAN KAKITANGAN KESIHATAN


Menteri Besar Johor bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon mengadakan lawatan ke HSI, semalam. | Foto ihsan Facebook Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Persekutuan diharap dapat segera membantu menyelesaikan isu kekurangan kakitangan kesihatan hospital kerajaan di negeri ini.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sinergi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mampu menyelesaikan isu berkenaan demi memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

 

“Saya merayu kepada pihak Kerajaan Persekutuan untuk membantu menyelesaikan isu kekurangan staf ini pada kadar yang segera.

 

“Saya percaya kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan mampu menyelesaikan isu-isu berbangkit seterusnya mampu memberikan perkhidmatan cemerlang kepada seluruh Bangsa Johor dan rakyat Malaysia.

 

“Kerajaan Negeri bertekad untuk memastikan isu perkhidmatan kesihatan di Negeri Johor ini bertambah baik, terutamanya di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang merupakan antara hospital awam tersibuk di Malaysia,” kata beliau di Facebook rasminya.

 

Terdahulu, Menteri Besar Johor bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon mengadakan lawatan ke HSI, semalam.

 

Turut menyertai lawatan tersebut adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dato’ Sri Norazman Ayob bersama delegasi kementerian.

 

Onn Hafiz berkata, antara isu berbangkit di HSI dan memerlukan penyelesaian segera adalah kekurangan pegawai dan kakitangan kesihatan.

 

Menurutnya, kekurangan kakitangan menyebabkan wad 9A dan 10A yang melibatkan lebih 100 katil pesakit tidak dapat digunakan.

 

Selain itu, isu berkenaan juga mengakibatkan hanya 10 daripada 18 dewan bedah (OT) dapat digunakan di samping pesakit terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.

 

“Ini bermakna ramai juga pesakit yang terkorban sementara menunggu giliran untuk dirawat,” kata beliau lagi.

 

Sementara itu, dalam siaran berasingan, Tian Soon memberitahu kunjungan Norazman yang juga Pemangku Ketua Setiausaha (KSU) KKM ke negeri ini, serta melawat HSA dan HSI atas jemputan Menteri Besar Johor bagi memahami situasi sebenar dan cabaran dihadapi.

 

“Kerajaan Negeri bersama pemangku KSU telah berbincang beberapa cadangan penyelesaian bagi membantu isu kekurangan kakitangan yang dihadapi oleh dua hospital ini. Pihak hospital juga perlu menggantikan sebahagian peralatan perubatan bagi meningkatkan kualiti rawatan.

 

“Selain itu, besar harapan kami agar Negeri Johor diluluskan satu hospital yang baharu dan berharap KKM dapat memperuntukkannya di dalam Belanjawan 2024 yang akan datang,” kata beliau dalam Facebook rasminya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor