KERJASAMA STRATEGIK MBJB, OCBC JAYAKAN JB CAR-FREE MORNING


Program ‘JB Car-Free Morning’ yang berlangsung pada 13 Januari ini mendapat tajaan 100 basikal dari OCBC Bank Berhad. | Foto Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB)

 

Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sentiasa menyokong aspirasi Kerajaan Negeri dengan melaksanakan program ‘JB Car Free Morning’ pada hari Sabtu kedua setiap bulan sebagai kesinambungan dalam menjadikan Johor Bahru sebagai sebuah bandar raya yang mampan, hijau dan rendah karbon.

 

Program yang akan dilaksanakan dengan usaha sama dari OCBC Bank Berhad itu bakal berlangsung pada 13 Januari ini dengan mendapat tajaan 100 basikal daripada syarikat perbankan tersebut dan seterusnya boleh digunakan oleh orang awam secara percuma pada setiap program berkenaan.

 

Datuk Bandar Johor Bahru, Dato’ Mohd Noorazam Osman menyatakan, tajaan tersebut diharapkan mampu menarik lebih ramai penyertaan bukan sahaja dari warga bandar raya tersebut tetapi juga pelancong asing termasuk dari Singapura, sekali gus merancakkan agenda penyahkarbonan di kawasan bandar raya itu.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Multigreen Events, Mohd Nezzam Abd Malek, menyatakan pihaknya selaku rakan strategik MBJB turut berhasrat untuk menyediakan lebih banyak program aktif dengan penganjuran aktiviti menarik supaya dapat melibatkan lebih ramai anggota masyarakat dan seterusnya memperluaskan lagi agenda kelestarian berkenaan.

 

Orang ramai dijemput untuk sama-sama memeriahkan lagi program JB Car-Free Morning pada hujung minggu ini bertempat di Pejabat MBJB, Jalan Dato’ Onn bermula dari jam 7 pagi hingga 9 pagi. Untuk maklumat lanjut, layari pautan www.jb.carfreemorning.my

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor