KKM BERI JAMINAN BANTU ATASI KEKURANGAN STAF KESIHATAN – EXCO KESIHATAN JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang hadir bagi bersama meraikan sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Negeri Johor turut mengumumkan khabar gembira kepada lebih 8,000 jururawat di negeri, dalam ucapannya. | Foto MDJ Saufi Razale

 

JOHOR BAHRU — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan untuk menyelesaikan isu kekurangan doktor dan jururawat di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, jaminan itu tersebut diberikan selepas tinjauan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) pada Rabu lalu.

 

“Hasil perbincangan bersama KKM sangat positif di mana mereka akan bantu kita terutamanya di dua hospital utama, HSA dan HSI bagi menambah jumlah doktor dan jururawat.

 

“Kekurangan itu telah menyebabkan dua wad di HSI tidak dapat digunakan dan pihak KKM beri jaminan kepada Kerajaan Negeri yang mereka akan bantu untuk menghantar doktor dan jururawat yang secukupnya,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada media selepas Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Negeri Johor 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, semalam.

 

Sementara itu, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang hadir bagi bersama meraikan sambutan berkenaan turut mengumumkan khabar gembira kepada lebih 8,000 jururawat di negeri, dalam ucapannya.

 

“Kalau tahun lepas, Exco Kesihatan umum peruntukan RM50,000. Tahun ini, disebabkan saya sangat kagum dengan semangat jururawat di Johor, saya luluskan peruntukan sebanyak RM200,000,

 

“Saya juga mohon untuk diberi sedikit masa, untuk Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan satu persatu isu hospital di Negeri Johor.” kata beliau.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor