LAPAN PASUKAN BERENTAP DALAM HOKI PIALA SULTAN JOHOR 2023


Piala Sultan Johor 2023 memasuki penganjuran tahun ke-11 akan berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru dari 27 Oktober hingga 4 November ini. | Foto MDJ Bayu Wira.

 

Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor 2023 bakal menyaksikan lapan pasukan berentap merebut takhta kejuaraan berbanding enam pasukan sebelum ini, termasuk Malaysia selaku tuan rumah. Kejohanan yang memasuki penganjuran tahun ke-11 ini akan berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru dari 27 Oktober hingga 4 November ini.

 

Pasukan yang mengesahkan penyertaan adalah juara bertahan, India diikuti Australia, Jerman, Great Britain, New Zealand, Pakistan, Afrika Selatan serta Malaysia. Lebih menarik, kejohanan pada kali ini menjadi medan persiapan kepada skuad hoki kebangsaan bawah 21 tahun sebelum mengharungi kempen Hoki Piala Dunia Remaja pada 5 hingga 16 Disember ini, bertempat di Kuala Lumpur.

 

YAM Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim selaku wakil rasmi DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah berkenan untuk berangkat dan menyempurnakan pelancaran Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor Kali Ke-11, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru, hari ini. Hadir sama, Pengerusi jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, YB Mohd Hairi Mad Shah serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), YB Dato’ On Jabbar.

 

Penganjuran kejohanan pada kali ini menerima tajaan keseluruhan berjumlah kira-kira RM2.7 juta, antaranya daripada Kerajaan Negeri Johor sebanyak RM500,000, Caikang Holding Sdn Bhd (RM500,000); VFive Group (RM300,000); Majulia Group (RM300,000); Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM); Johor Corporation (RM100,000) dan banyak lagi.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor