KERAJAAN JOHOR SEDIA BANTU KERAJAAN PERSEKUTUAN ATASI ISU KEKURANGAN BERAS


Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor melawat salah sebuah kiosk usahawan tempatan di Mini Karnival Maju Johor 2023. | Foto MDJ Hafez Zahar

 

“Saya telah minta EXCO Pertanian dan EXCO Hal Ehwal Pengguna kita untuk memberi langkah-langkah segera membantu Kerajaan Persekutuan menangani isu ini. Dan dalam masa terdekat, saya juga akan turun padang sendiri untuk melihat situasi di pasar raya seterusnya melihat bagaimana boleh kita bantu,” ujar YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.

 

Prihatin dengan cabaran yang dihadapi oleh pengguna di negeri ini, beliau menegaskan Kerajaan Negeri tidak akan mengambil sikap lepas tangan meskipun masalah bekalan beras di bawah kawalan Kerajaan Persekutuan.

 

“Tidak, kita tak akan biarkan rakyat Johor terkesan. Seperti saya sebut, ini bukan isu negeri tetapi isu nasional. Macam mana kita selesaikan masalah jalan raya, pintu masuk sempadan (di bawah Kerajaan Persekutuan) dan segala masalah yang dihadapi oleh rakyat Johor, kita akan bantu yang termampu,” tambahnya.

 

Terdahulu, Onn Hafiz menghadiri Mini Karnival Maju Johor 2023 anjuran Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar yang menjadi platform kepada 13 usahawan Johor terpilih mengembangkan produk masing-masing dengan penawaran diskaun pembelian sebanyak 25 peratus.

 

Hadir sama, YB Mohd Hairi Md Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor; YBhg. Mohd Radzi Mohd Amin, Pengarah Eksekutif PUJB serta YBhg. Mohamad Radif Kosnin, Pengurus Besar PUJB.

 

Selain itu, PUJB dengan kerjasama agensi di bawah Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) bakal menganjurkan Festival Usahawan Nusantara (FUN 2023) pada 2 hingga 5 November depan yang bakal melibatkan penyertaan usahawan dari luar negara seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor