MBPG PANDANG SERIUS ISU PENYEWA ‘SUBLET’ ASET


Siaran dimuat naik dalam Facebook rasmi Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) memandang serius tindakan segelintir penyewa menyewakan aset sewaan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan kepada pihak ketiga.

 

Memetik siaran dimuat naik dalam Facebook rasmi, MBPG memaklumkan ada penyewa menaikkan kadar sewaan asal sehingga 50 hingga 100 peratus, berdasarkan laporan awam diterima.

 

Antara alasan diberikan segelintir penyewa terbabit adalah kadar sewaan itu ditetapkan oleh pihak MBPG, sebaliknya kenaikan terbabit dianggap sebagai tidak munasabah dan telah menindas pihak ketiga.

 

“Pada dasarnya, tawaran sewaan aset milik MBPG adalah bertujuan untuk membantu komuniti setempat yang memerlukan kemudahan menginap dan berniaga dengan kadar sewaan yang minimum dan mampu dibayar.

 

“Tindakan mereka ini telah menutup peluang kepada golongan yang lebih memerlukan untuk mendapatkan sebuah kediaman untuk berteduh dan sebuah lot kedai untuk mereka mencari sumber pendapatan buat keluarga,” jelas MBPG.

 

Selain itu, turut dimaklumkan bahawa MBPG melalui Jabatan Pengurusan Harta dan Komersial akan meningkatkan pemantauan terhadap isu sewaan kecil atau ‘sublet’ itu supaya tiada pihak ditindas.

 

“Bagi membendung perkara ini dari terus berlaku, pihak MBPG tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis dan membawa kes ini ke mahkamah bagi mengenakan tindakan yang lebih serius ke atas pihak yang menawarkan sewaan kecil kepada pihak ketiga.

 

“Maklumat dari komuniti setempat berkenaan perkara ini sangat diharapkan agar aktiviti ini dapat dibendung dan seterusnya dapat dihentikan,” jelas MBPG lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor