SASAR 17 KBT BERSTATUS HIJAU MENJELANG HUJUNG 2024


Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Johor, Azli Ubin berkata, pihaknya menyambut baik hasrat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyasarkan status penghijauan 17 kawasan berisiko tinggi (KBT) yang aktif menjelang hujung 2024. | Foto MDJ Saufi Razale.

 

 

JOHOR BAHRU — Kerajaan Johor mensasarkan status penghijauan ke atas 17 kawasan berisiko tinggi (KBT) yang aktif dengan masalah penyalahgunaan dan penagihan dadah menjelang penghujung tahun depan.

 

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Johor, Azli Ubin berkata, pihak agensi menyambut baik sasaran dihasratkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

Menurutnya, sasaran itu diletakkan susulan Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri Johor yang diadakan pada 17 Jun lalu.

 

“Pada awalnya peringkat peracangan kita meliputi penghijauan kawasan berisiko tinggi yang berada di Negeri Johor ini bermula pada tahun 2021 lagi, iaitu selari dengan program yang dilaksanakan pihak AADK.

 

“Ianya selaras dengan matlamat Dadah Terkawal 2025 oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Johor Iltizam Hapus Ancaman Dadah (JIHAD) 2025 yang telah bermula pada tahun 2021,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor, baru-baru ini.

 

Azli berkata, inisiatif JIHAD itu memberikan tumpuan kepada Mukim Mersing di daerah Mersing, Mukim Plentong di daerah Johor Bahru dan Mukim Jabi di daerah Segamat pada tahun lalu.

 

Ujarnya, terdapat lima mukim yang akan menjadi tumpuan penghijauan pada tahun ini, iaitu Mukim Kulai, Kulai; Mukim Bandar Pontian, Pontian; Mukim Simpang Kiri, Batu Pahat; Mukim Bandar Muar, Muar dan Mukim Pogoh, Segamat.

 

“Namun ada sembilan lagi mukim yang kita sasar pada tahun 2024 menjadikan ia 17 KBT yang cuba kita hijaukan.

 

“Begitu juga dengan status pengekalan yang dapat kita hijaukan di tiga mukim pada dua tahun yang lalu (2021) iaitu Mukim Mersing, Mukim Jabi dan Mukim Plentong,” katanya.

 

Beliau berkata, AADK juga mengambil tanggungjawab di dalam Agenda Maju Johor 2030 melalui Teras Jaringan Keselamatan Sosial.

 

“Peranan ini sedikit sebanyak membantu untuk memberi keyakinan dan kesejahteraan kepada Bangsa Johor seterusnya memberi keyakinan kepada pelabur di dalam Negeri Johor ini,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor