MENTERI BESAR JOHOR SERU RAKYAT AMBIL PENGGALAK KEDUA


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyeru seluruh Bangsa Johor untuk mengambil dos penggalak kedua | Sumber Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyeru seluruh Bangsa Johor mendapatkan dos penggalak kedua.

 

“Meskipun jumlah jangkitan kes positif COVID-19 di Johor masih terkawal, namun saya tetap menyeru seluruh Bangsa Johor untuk mengambil dos penggalak kedua.

 

“Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Johor, YB Dato’ Dr. Aman Rabu kadar pengambilan dos penggalak kedua di Johor masih lagi rendah iaitu pada kadar 1.9 peratus,” katanya menerusi siaran Facebook rasminya.

 

Terdahulu, beliau diberikan taklimat mengenai situasi COVID-19 di Negeri Johor oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

 

Onn Hafiz berkata, taklimat oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Kawalan Penyakit Berjangkit Jabatan Kesihatan Negeri Johor (Kesihatan Awam), Dr. Shahril Azian Masrom turut membayangkan bahawa situasi terkini COVID-19 tidak boleh dipandang remeh.

 

“Walaupun kini kita sudah terbiasa hidup dalam era peralihan ke fasa endemik, namun kemunculan varian-varian baru seperti BA.5.2 dan B.7 serta kedudukan Negeri Johor sebagai pintu masuk antarabangsa akan memerlukan rakyat negeri ini terus berjaga-jaga.

 

“Marilah kita sama-sama berdoa agar Johor dan Malaysia terus dipelihara daripada ancaman wabak ini pada masa akan datang,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor