MENTERI BESAR JOHOR TURUN PADANG TINJAU HARGA BARANG


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melakukan tinjauan harga barangan di Pasar Besar Larkin, baru-baru ini | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melakukan tinjauan harga barangan di Pasar Besar Larkin, baru-baru ini.

 

Beliau dimaklumkan barangan basah seperti ayam, ikan, timun, tomato serta beberapa keperluan lain masih tinggi.

 

“Ini membebankan bukan sahaja untuk pihak pembeli, tetapi juga pihak penjual runcit yang terpaksa mengekalkan margin keuntungan biarpun sedikit.

 

“Saya telah meminta pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) agar dapat meningkatkan pemantauan,” katanya di Facebook rasminya.

 

Onn Hafiz berkata, kementerian juga diharapkan dapat memastikan tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin.

 

Selain itu, kata beliau, bekalan telur ayam di pasaran kembali mencukupi untuk kegunaan pengguna seperti dimaklumkan kepadanya.

 

“Beberapa bulan kebelakangan ini, Johor mengalami masalah kekurangan bekalan telur ayam di pasaran.

 

“Tetapi saya diberitahu kini sedang kembali pulih dan mencukupi untuk keperluan isi rumah,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor