NOR MARLISYA BALAS KEKECEWAAN SUKMA 2024

Kekecewaan tanpa sebarang pingat pada penampilan sulung di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 ternyata tidak pernah menganggu tumpuannya, malah rasa kecewa itu ditukar kepada ‘keazaman yang membara’ buat atlet olahraga Johor, Nor Marlisya Mohd Ishak.
#Serdang, Selangor – Kekecewaan tanpa sebarang pingat pada penampilan sulung di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 ternyata tidak pernah menganggu tumpuannya, malah rasa kecewa itu ditukar kepada ‘keazaman yang membara’ buat atlet olahraga Johor, Nor Marlisya Mohd Ishak, 19, untuk bangkit dan membuktikan kemampuan pada edisi kali ini.
Usaha ternyata tidak pernah mengkhianati. Selepas dua tahun, penantiannya untuk memburu pingat pertama akhirnya tiba selepas pelajar Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) itu berjaya menghadiahkan pingat emas buat Johor dalam acara 400 meter (M) perempuan dalam penampilan keduanya pentas SUKMA di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Lebih manis, Marlisya mencatatkan masa 55.93 saat untuk muncul juara, sekali gus meninggalkan saingan pencabar lain dalam perlumbaan yang menyaksikan beliau tampil dengan prestasi jauh lebih baik berbanding catatan pada pusingan separuh akhir sebelum ini iaitu 57.50 saat.
Marlisya yang juga anak kelahiran Kluang mengakui kejayaan tersebut tidak mungkin dicapai tanpa restu doa dan sokongan ibu bapanya serta Kerajaan Johor menerusi Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) yang sentiasa tampil membantu perjalanan kariernya sebagai seorang atlet.
Pingat emas itu juga menjadi satu titik penting dalam perkembangan karier Marlisya yang menjadikan dua atlet negara iaitu Chelsea Cassiopea Evaly Bopulas dan Shereen Samson Vallabouy sebagai antara idolanya dalam acara 400 M.
Selepas ini, Marlisya bakal meneruskan cabaran dalam SUKMA Selangor XXII menerusi tiga lagi acara iaitu 200 M perempuan, 4×400 M berganti-ganti campuran dan 4×400 M berganti-ganti perempuan di Stadium UPM, Serdang.
#JohorSafeZone
#SUKMAXXII
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


