OMJ BINA KEYAKINAN BELIA OKU


Muhammad Shahril Roslan di program Johor Youth Meet-Up By OMJ. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Keprihatinan Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terhadap pembangunan Orang Muda Johor (OMJ) amat dihargai golongan belia tanpa mengira perbezaan kaum dan pelbagai latar belakang di negeri ini, termasuk Orang Kurang Upaya (OKU).

 

Berasal dari Pasir Gudang, Muhammad Shahril Roslan, 22, yang ditemui ketika program Johor Youth Meet-Up By OMJ memuji kepemimpinan Pemangku Sultan Johor dalam mengetuai aktiviti belia sejak dilantik oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada September 2020.

 

Beliau yang bekerja sendiri menjunjung setinggi-tinggi kasih dan penghargaan terhadap Baginda atas seruan kepada golongan OKU untuk membina keyakinan diri dengan mewujudkan jaringan sosial sekali gus memanfaatkan hubungan yang tercipta untuk bertukar pandangan dan bersama menyumbang kepada negeri.

 

Selain itu, Muhammad Shahril turut menyanjung segala usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri kepada belia menerusi pelbagai inisiatif termasuklah penganjuran program Johor Youth Meet-Up By OMJ yang disifatkan sebagai suatu pengiktirafan terhadap golongan tersebut.

 

Terdahulu, berlangsungnya Program Johor Youth Meetup by OMJ anjuran Kerajaan Johor dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) serta pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang menghimpunkan lebih 20,000 pengunjung khususnya OMJ di Kompleks Sukan Educity, hari ini.

 

Program turut diserikan dengan keberangkatan DYAM Pemangku Sultan Johor yang turut berkenan menyantuni Bangsa Johor selain meluangkan masa mengupas pelbagai isu dalam sesi podcast Meh Dengo Jap! terbitan Media Digital Johor secara langsung selama lebih satu jam.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor