PEJABAT PERTANIAN DAERAH KOTA TINGGI TERIMA ANUGERAH KHAS
Pejabat Pertanian Daerah Kota Tinggi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Pensijilan Amalan Pertanian Baik (APB) Negeri Johor sekali gus merangkul Piala Anjasmara Ta’zim yang buat julung kalinya disampaikan.
Pengiktirafan itu telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip pada Majlis Apresiasi Pensijilan APB myGAP dan myOrganic Jabatan Pertanian Negeri Johor Tahun 2022, hari ini.
Pegawai Pertanian Daerah Kota Tinggi, Mohd Hafizh Hussain akui tidak menyangka akan membawa pulang piala pusingan berkenaan kerana usaha pihaknya selama ini dilakukan demi mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) jabatan.
Usaha yang dilakukan adalah menumpukan setiap Agen Pengembangan Tanaman (APT) menghasilkan pensijilan di mana terdapat APT berjaya menghasilkan 13 pensijilan APB myGAP dan myOrganic sekali gus merupakan yang terbanyak di negeri ini, dan kedua tertinggi di peringkat kebangsaan.
Selain itu, Pejabat Pertanian Daerah Kota Tinggi juga sentiasa membantu APT membuat perancangan secara berfasa selain melakukan promosi, pendedahan dan kempen di semua peringkat bagi menarik minat usahawan tani.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor