PEMBESARAN LTAS TINGKAT PENGALAMAN PERJALANAN PELANCONG, PENUMPANG


Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. (SATSSB) hari ini, melakar peristiwa istimewa dan penting apabila meraikan detik bermulanya operasi bangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) baharu yang turut dihadiri dan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi. | Foto MDJ, Wira Anggara

 

SENAI Airport Terminal Services Sdn. Bhd. (SATSSB) hari ini, melakar peristiwa istimewa dan penting apabila meraikan detik bermulanya operasi bangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) baharu yang turut dihadiri dan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

“Saya masih ingat lagi, dulu masa saya menjadi EXCO Pelancongan, saya telah mengadakan beberapa kali lawatan mengejut. Jadi ‘spotcheck’ bukan masa MB je saya buat. Masa saya EXCO pun saya buat untuk melihat perkembangan infrastruktur yang dibina oleh pihak Tan Sri (Che Khalib Mohamad Noh) dan pasukan,” ujar Menteri Besar.

 

Onn Hafiz mengucapkan tahniah dan syabas kepada SATSSB atas kegigihan serta komitmen dalam memastikan projek pembesaran LTAS yang bermula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik COVID-19, berjaya dilaksanakan yang sekali gus meningkatkan imej pintu masuk ke Johor melalui udara.

 

Tambah Menteri Besar, beliau berpandangan usaha memberikan keselesaan kepada penumpang dan pelancong yang hadir ke Johor menerusi LTAS, merupakan tanggungjawab bersama dan bukannya pihak SATSSB sahaja.

 

“Saya hendakkan daerah Johor Bahru dan ‘Greater JB’ yang menjadi ‘the gateway’ untuk Malaysia di peringkat Selatan supaya rakyat dan juga pelancong mendapat pengalaman yang baik dari lapangan terbang sampai ke CIQ. Seperti yang saya sebut, ia memerlukan bantuan semua pihak,” kata beliau.

 

Sementara itu, Pengerusi SATSSB merangkap Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh memberitahu LTAS memainkan peranan utama sebagai pintu masuk penerbangan untuk Iskandar Malaysia dan wilayah Selatan dalam menyediakan laluan dan perkhidmatan penting bagi memenuhi keperluan pelancong dan perniagaan.

 

“Projek menaik taraf LTAS ini telah bermula pada Mac 2020 dan siap sepenuhnya Ogos 2023 di mana projek ini telah berjaya memperolehi Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) daripada agensi berkaitan. Sebanyak RM12 juta telah digunakan untuk membiayai projek ini meliputi kawasan seluas 1,690 meter persegi,” kata beliau.

 

Pembesaran LTAS melibatkan pembesaran kawasan Balai Berlepas baharu dilengkapi kemudahan seperti lima pintu berlepas baharu, tempat duduk tambahan, lot kedai, sistem paparan maklumat penerbangan, sistem penyiaran awam, laluan penumpang berbumbung, sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan perkhidmatan Wi-Fi.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh serta Pegawai Daerah Kulai, Zainor Adani.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor