PEMENTASAN TEATER PUTERI DAUN EMAS BAKAL JADI DAYA TARIKAN PELANCONGAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar, berkata pementasan ini mempunyai potensi dalam menarik pelancong dari luar negara khususnya dengan ada tarikan teater seumpama itu | FOTO MDJ, Saufi Razale.

 

JOHOR BAHRU — Pementasan Teater Puteri Daun Emas anjuran Yayasan Warisan Johor (YWJ) dengan kerjasama Majlis Teater Negeri Johor bakal menjadi satu daya tarikan pelancong untuk berkunjung ke negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar, berkata pementasan ini mempunyai potensi dalam menarik pelancong dari luar negara khususnya dengan ada tarikan teater seumpama itu.

 

“Johor ada ramai pengunjung dari China, India, Korea, Eropah dan Arab. Jadi bila kita ada teater sedemikan mungkin akan menarik lebih ramai pengunjung yang akan datang (ke Johor).

 

“ Kami menyasarkan seramai 800 penonton yang akan hadir dan ia sememangnya menjadi potensi terbaharu pelancongan untuk Negeri Johor,” katanya pada Sidang Media Bangsawan Puteri Daun Emas, hari ini.

 

K. Raven Kumar turut mengucapkan syabas kepada YWJ dan Majlis Teater Negeri Johor kerana telah berjaya memugar kembali pementasan teater ‘genre’ bangsawan selepas lapan tahun tidak dipentaskan untuk tontonan awam.

 

“Genre bangsawan bukan hanya sebuah manifestasi persembahan teater biasa, ia merupakan satu pementasan yang menggabungkan elemen kesenian yang rencam seperti seni lakon, muzik, tari, pencak silat, seni tampak dan juga seni lukis ,”katanya yang menjelaskan teater bergenre berkenaan kali terakhir dipentaskan pada tahun 2006.

 

Turut hadir, Pengarah YWJ, Sharil Nizam Abdul Rahim; Yang DiPertua Majlis Teater Negeri Johor, Razif Adnan dan Pengarah Bangsawan Puteri Daus Emas, Othman Ahmad.

 

Sementara itu Pengarah teater berkenaan, Othman berkata, seramai 19 pelakon terlibat dalam pementasan berdurasi 1 jam 50 minit yang bakal menyaksikan retrospektif gandingan hebat dari Residen Artis Budaya YWJ dan Aktivis Teater Negeri Johor.

 

“Dekat pementasan ini kita akan dapat lihat gandingan penggiat seni teater yang lama atau ‘senior’ ini dengan bakat seni yang muda,” katanya yang juga merangkap Setiausaha Majlis Teater Negeri Johor.

 

Pementasan Bangsawan Puteri Daun Emas bakal ditayangkan pada 9 dan 10 Jun ini bermula dari jam 8.00 malam bertempat di Dewan Utama Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.

 

Pembelian tiket boleh dibuat secara dalam talian mulai 25 Mei ini menerusi capaian https://store.ywj.gov.my/.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor