PENAMBAHBAIKAN HPSF BERMULA TAHUN INI : EXCO KESIHATAN JOHOR
ISKANDAR PUTERI — Projek penambahbaikan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), dekat Muar, untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memberikan keselesaan petugas dan pesakit, dijangka bermula tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, penambahbaikan yang bakal dilakukan melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Johor.
Menurutnya, antara isu berkaitan hospital dibangkitkan Pengarah HPSF, Dr. Muhammad Yusof Sibert dalam laporan sebelum ini adalah pusat dialisis mencapai tahap tepu selain ruang terhad, keretakan bangunan baru dan lama serta kesesakan ruang menunggu mendapatkan ubat atau laluan keluar.
“Maka saya membawa berita baik kepada hospital tersebut hari ini. Pertama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyediakan jumlah peruntukan sebanyak RM161,000 untuk menukar tapak sebelum ini digunakan sebagai bangunan latihan jururawat kepada pusat dialisis baharu.
“Ia akan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan di pusat dialisis hospital dan secara khususnya tidak perlu mengatur pengangkutan ambulans lagi,” katanya seperti dipetik dari Facebook rasminya, hari ini.
Tian Soon berkata, kedua, KKM juga telah meluluskan geran sebanyak RM93,000 untuk membaiki koridor yang sudah retak.
Selain itu, katanya, Kerajaan Johor akan menyediakan geran sebanyak RM250,000 kepada HPSF untuk meningkatkan keselesaan ruang menunggu serta tempat lain.
“Projek-projek tersebut akan bermula pada tahun ini dan semoga selepas siap semua, ia akan membawa kualiti perkhidmatan perubatan yang lebih baik dan selesa kepada rakan-rakan di Daerah Muar,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor