PERTAMBAHAN PENGEMBARA PUNCA KESESAKAN PADA JUMAAT LALU


Anggota polis memantau dan mengawal situasi kesesakan di CIQ BSI pada Jumaat lalu | Sumber Facebook Polis Daerah Johor Bahru Selatan

 

ISKANDAR PUTERI — Kesesakan berlaku di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) yang tular kelmarin, berlaku disebabkan pertambahan pengembara masuk ke negara dengan menaiki bas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kesesakan kira-kira 5,000 pengembara di laluan pejalan kaki masuk ke Malaysia di BSI, jam 8 malam, 21 Oktober lalu.

Menurutnya, kesesakan berlaku disebabkan pertambahan pengembara masuk ke negara, dengan menaiki bas.

“Keadaan berlaku hampir dua jam di kaunter cop pasport pihak Imigresen hingga ke laluan bas masuk Malaysia, BSI.

“Beberapa cubaan rempuh telah dilakukan oleh pihak pengembara semasa kawalan dibuat oleh pihak polis bantuan bagi menghadkan pengembara berada di lokasi cop pasport,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Raub berkata, pemantauan dan kawalan telah ditambah kekuatan oleh anggota bertugas Balai Polis BSI dan anggota polis bantuan, serta pihak RELA BSI.

Katanya, keadaan di laluan pejalan kaki masuk Malaysia kembali terkawal sekitar jam 10.30 malam.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor