AH SOON BERBAHASA TAMIL UCAP SELAMAT HARI DEEPAVALI


Tangkap layar sedutan video Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon mengucapkan selamat menyambut Deepavali. | Sumber Facebook Ah Soon

 

ISKANDAR PUTERI — Sempena perayaan Deepavali disambut masyarakat India esok, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon tampil dengan kelainan menerusi satu video dimuatnaik dalam Facebook rasminya.

Tian Soon atau lebih mesra disapa Ah Soon telah berpakaian tradisional masyarakat India bagi lelaki iaitu kurta sambil mengucapkan selamat dalam bahasa Tamil dan memakan sajian maruku atau murukku menerusi video berdurasi 30 saat itu.

“Ah Soon nak ucap sikit dalam bahasa Tamil ok? Happy Deepavali kepada kawan-kawan yang beragama Hindu. Mudah-mudahan tahun ini lebih baik daripada yang sebelumnya,” katanya.

Gaya santai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng itu bukan sahaja berjaya menambat hati masyarakat India yang memberi komen terhadap posting yang dimuatnaik, malah memukau masyarakat Melayu dan Cina.

Selain meraih pujian daripada umum, rata-rata netizen yang memberi komen terhadap video tersebut membalas EXCO Kerajaan Johor tersebut dengan ucapan Selamat Bercuti dan Selamat Menyambut Deepavali.

Kebolehan Ah Soon bertutur dalam bahasa Tamil itu mencerminkan semangat perpaduan yang tinggi dimiliki oleh beliau, seterusnya memanifestasikan keunikan masyarakat berbilang kaum di Negeri Johor dan Malaysia amnya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor