PPNJ DISERU MENCUBA TANAMAN BAHARU


Dato’ Haji Zamri Yaakob ketika hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Johor Kali ke-45 Tahun 2023. | Foto MDJ: Wira Anggara

 

“Kita (PPNJ) tidak boleh lagi bergantung 100 peratus kepada perniagaan lama yang kita lakukan sekarang ini (kelapa sawit) kerana menerusi pengalaman, jika harga sawit baik kita untung, tetapi ketika harga tak baik, kita akan mengalami nasib seperti yang kita hadapi kini,” pesan Dato’ Haji Zamri Yaakob, Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

 

Justeru, beliau menekankan agar PPNJ turut menumpukan perhatian kepada bidang pertanian lain yang mampu untuk menjana pendapatan lumayan. Sebagai contoh permintaan kelapa yang tinggi di pasaran yang seharusnya dimanfaatkan oleh peladang.

 

“Sekarang ini, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengeluarkan benih kelapa yang bermutu iaitu mampu mengeluarkan 20 ke 30 biji kelapa sepokok sebulan. Kedua, durian ‘Musang King’ terlalu tinggi dan harga juga masih tinggi. Dan ketiga tanaman nanas Sarawak Gold (SG1) yang mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh sembilan bulan,” tambahnya.

 

Terdahulu, Zamri hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Johor Kali ke-45 Tahun 2023 dan menyempurnakan Majlis Penyerahan Pacuan Empat Roda di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

 

Turut hadir, Encik Amiruddin Bahar, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Johor; Dato’ Haji Ali Shikh Ahmad, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPNJ dan Encik Shahrizan Khairudin, Pengurus Besar PPNJ.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor