PPS KINI LEBIH SELESA
BATU PAHAT — “Kalau dulu kami golongan wanita terpaksa mengambil ikhtiar mengantung ikatan kain batik untuk dijadikan penghadang tapi kini dengan khemah berbentuk kiub ni, rasa agak selesa,” kata Siti Ramlah Kamat.
Siti Ramlah, 50, penduduk Kampung Parit Singgahan, Seri Medan di sini, berkata banyak perubahan yang dilaksanakan oleh kerajaan di pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga menyebabkan kebajikan penduduk sentiasa diutamakan.
Katanya, keadaan PPS sekarang memang ada perubahan dan bersistematik berbanding dulu. Nak salin pakaian pun sudah selesa.
“Dahulu kalau memang rasa segan dan mahu tidak mahu memang terpaksa ‘sorok-sorok’ jika nak menukar pakaian sebab kemudahan seperti sekarang belum ada.
“Kami buat bilik sendiri… ikat kain batik sana, ikat di sini untuk elakkan pandangan orang lain ketika menukar pakaian atau memudahkan jika ada ibu yang ingin menyusu bayi,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Jati, Seri Medan di sini, hari ini.
Terdahulu, Media Digital Johor turut menyertai Konvoi Pejabat Daerah Batu Pahat yang diketuai oleh Pegawai Daerahnya, Nasri Md Ali dan turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan bagi melihat situasi terkini banjir di kawasan berkenaan.
Siti Ramlah berkata, beliau dan juga penduduk yang sedang berlindung di PPS berkenaan sememangnya amat berterima kasih kepada pihak kerajaan yang sentiasa prihatin dengan kebajikan penduduk di sini, termasuk kepentingan penjagaan aurat wanita di PPS berkenaan.
Sementara itu, penduduk Kampung Parit Seribu, Morseh Dasuki, 73, yang turut berlindung di PPS berkenaan turut mengakui perubahan yang dilaksanakan kerajaan di penempatan sementara berkenaan yang kini lebih selesa berbanding dahulu.
“Kemudahan yang disediakan memang selesa berbanding dahulu sebab beberapa tahun dahulu, keadaan kami agak berselerak sedikit. Kini bukan sahaja tempat yang selesa tetapi kebjikan kami seperti perubatan dan makan minum turut dijaga dengan baik.
“Sejujurnya saya mempunyai penyakit gula dalam darah, darah tinggi dan kolesterol. Alhamdulillah, pegawai perubatan sering datang membuat pemeriksaan tahap kesihatan saya hampir setiap hari ketika berada di PPS ini,” katanya.
Bagi Salina Anuar, 28, berkata kemudahan PPS yang disediakan oleh kerajaan sememangnya lebih selesa berbanding dahulu terutama kepada dirinya yang masih mempunyai anak kecil.
“Khemah yang berbentuk kiub ini memang agak selesa bagi diri saya sebab anak masih menyusu kerana ia boleh ditutup dan fizikalnya yang lebih tinggi,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor