PROJEK RINTIS SEKOLAH BANGSA JOHOR BAKAL DILAKSANA


YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor. | Foto MDJ Bayu Wira

 

Sistem pendidikan berkualiti bukan sahaja memberi penekanan kepada silibus mahupun modul mata pelajaran, sebaliknya dinilai lebih mendalam termasuk impak dan keberkesanan terhadap kemenjadian pelajar di sekolah.

 

Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menekankan kepentingan pendidikan berkualiti kepada Bangsa Johor, projek rintis bagi pelaksanaan Sekolah Bangsa Johor kini sedang digerak dan telah dimulakan.

 

Usaha tersebut bagi YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor adalah selari dengan titah Pemangku Sultan Johor agar kualiti, sistem serta fasiliti pendidikan ditingkatkan selain memperbaharui silibus mata pelajaran sedia ada.

 

Maka Sekolah Bangsa Johor dijangka dilaksanakan pada tahun hadapan melibatkan dua sekolah rendah dan dua sekolah menengah yang akan dikenal pasti berdasarkan beberapa indikator signifikan digariskan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).

 

Antaranya, pencapaian peperiksaan memberangsangkan dan sistem pentadbiran yang baik selain berupaya mengadaptasi silibus mata pelajaran tambahan serta pengenalan modul baharu untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

 

Justeru, dengan kewujudan Sekolah Bangsa Johor kelak, Kerajaan Negeri berharap mampu melahirkan lebih ramai pelajar yang cemerlang, menguasai bahasa Inggeris dan pakar dalam bidang STEM untuk memenuhi keperluan industri serta memiliki jati diri yang mantap.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor