RTS LINK JB-SINGAPURA SIAP 36 PERATUS


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, bersama Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran membuat lawatan kerja ke Tapak Jejambat Marin Projek RTS Link, di sini hari ini. | FOTO: Syafiq Tayeb

 

JOHOR BAHRU — Kerja pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura mencapai tahap kemajuan 36 peratus siap, setakat 30 April lalu.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembinaan jajaran jejambat marin rel laluan RTS pula mencapai 30 peratus siap.

 

“Meskipun pelbagai cabaran yang kita hadapi seperti tempoh masa yang singkat, perubahan kerajaan dan pandemik COVID-19, namun projek ini masih berada di landasan yang betul,” katanya pada sidang media ketika lawatan kerja ke Tapak Jejambat Marin Projek RTS Link, di sini hari ini.

 

Turut hadir, Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim.

 

Siew Fook turut memaklumkan projek RTS yang akan menghubungkan Stesen Bukit Chagar Johor Bahru, di sini, dan Stesen Woodlands, Singapura itu dijangka siap sepenuhnya Disember 2026.

 

RTS Link Johor Bahru-Singapura sepanjang empat kilometer itu merupakan sistem transit aliran ringan pertama dibina di bandar raya ini.

 

Mod pengangkutan awam tersebut mampu menampung kira-kira 10,000 penumpang setiap jam dengan jangkaan mula beroperasi Januari 2027.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor