SEKOLAH AGAMA KATEGORI KRITIKAL DIBERIKAN KEUTAMAAN


YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) komited melakukan pemantauan Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) agar sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kondusif sekali gus memberi keselesaan kepada 198,375 murid dan 4,799 guru untuk menjalani Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dengan sempurna.

 

Setiap tahun, permohonan bagi penyelenggaraan dan baik pulih yang diterima tidak kurang daripada 150 hingga 200 permohonan seterusnya akan dinilai dan diberikan keutamaan kepada kategori kritikal iaitu melibatkan pendawaian, bumbung dan tandas demi keselamatan murid serta guru.

 

Daripada 212 permohonan diterima untuk tahun 2023 dan 2024, 88 sekolah agama dapat dibaik pulih menerusi peruntukan berjumlah RM12.5 juta hasil kerjasama Kerajaan Negeri bersama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Perbadanan Islam Johor (PIJ), PIJ Holdings Sdn. Bhd. serta Lembaga Kumpulan Wang Amanah Orang Islam Negeri Johor.

 

Manakala baki permohonan 124 sekolah kategori kritikal telah dimajukan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kos sebanyak RM20 juta. Kerajaan Persekutuan melalui JAKIM telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM7.6 juta yang dapat membaik pulih 82 sekolah pada tahun lalu.

 

Selain itu, sebanyak 320 televisyen pintar diberikan kepada 320 SAKJ sementara 154 sekolah agama kategori gred C (kebanyakan terletak di luar bandar) juga menerima sumbangan yang sama berserta kemudahan WiFi bagi melengkapkan Pembelajaran Abad Ke-21 pada tahun 2023 dan tahun ini.

 

Terdahulu, YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menjawab soalan dari YB Alwiyah Talib, Ahli Dewan Negeri (ADN) Johor Kawasan Endau, YB Hahasrin Hashim, ADN Johor Kawasan Panti dan YB Mohd Yusla Ismail, ADN Johor Kawasan Senggarang mengenai infrastruktur dan kelengkapan SAKJ.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor