SERAHAN KUNCI SEBELUM AKHIR JULAI : EXCO PERUMAHAN JOHOR
ISKANDAR PUTERI — Langkah responsif diambil Kerajaan Negeri terhadap isu kelewatan projek Taman Puterimas, dekat Kluang, bagi fasa satu melibatkan 400 unit rumah memberikan sinar kegembiraan kepada pembeli.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, masalah kelewatan menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) serta penyerahan kunci kepada pembeli sebelum ini sudah menemui penyelesaian.
“Susulan aduan dan keluhan penduduk di Facebook Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Facebook saya sendiri berkenaan kelewatan CCC dan serahan kunci Taman Puterimas Kluang, hari ini (semalam) saya sendiri turun ke Kluang menyelesaikan permasalahan kelewatan tersebut.
“Seperti saya nyatakan sebelum ini antara punca kelewatan adalah kerana syarat baru (Ranhill) SAJ yang perlu dipenuhi bagi keselesaan penduduk untuk jangka masa panjang. Alhamdulilah permasalahan itu telah selesai dan CCC akan keluar minggu depan. Insya-Allah serahan kunci akan dibuat sebelum akhir bulan ini,” katanya pada Rabu.
Mohd Jafni berkata, Kerajaan Negeri melalui penyelarasan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) berserta 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pelbagai jabatan mahupun agensi komited membantu menyelesaikan isu berkaitan teknikal yang menjadi kekangan terhadap isu perumahan.
Sebelum ini, Media Digital Johor melaporkan komitmen Kerajaan Negeri yang mengambil langkah responsif terhadap aduan dan keluhan pembeli projek Taman Puterimas, dekat Kluang di media sosialnya.
Sejurus dimaklumkan tentang isu itu, beliau telah segera meminta pihak PKPJ mengenal pasti isu kelewatan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan penyerahan kunci projek perumahan terbabit.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor