SINGTEL SEDIA BANGUNKAN PUSAT DATA KAMPUS DI JOHOR : MB


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menyatakan rasa gembira atas penzahiran tersebut memberitahu pusat data bakal dibangunkan itu menggunakan teknologi terkini, mampan dan teknologi hijau. | Foto ihsan FB Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Konglomerat telekomunikasi Singapura, Singapore Telecommunications Limited (Singtel) menzahirkan kesediaan untuk membangunkan pusat data kampus di negeri ini.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menyatakan rasa gembira atas penzahiran tersebut memberitahu pusat data bakal dibangunkan itu menggunakan teknologi terkini, mampan dan teknologi hijau.

 

“Insya-Allah, dengan kekuatan Singtel yang memiliki infrastruktur jaringan telekomunikasi berkualiti tinggi, Kerajaan Negeri optimis Singtel mampu memacu Johor membina ekosistem komunikasi dan pusat data terbaik di rantau Asia.

 

“Seterusnya menjadikan negeri ini tumpuan dari segi pelaburan tenaga boleh baharu (renewable energy), dan juga teknologi kecerdasan buatan (AI),” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Jumaat.

 

Terdahulu, beliau hadir dalam sesi perjumpaan bersama Singtel, yang merupakan salah satu daripada empat syarikat telekomunikasi utama di Singapura dalam rangka lawatannya ke negara jiran.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim; Pengarah MIDA Singapura, Vinothan Tulisinathzan serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, Zarina Abdul Kadir.

 

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha (Pembangunan Wilayah dan Perbandaran) BPENJ, Norazmi Amir Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor di Singapura (JETCO), Saifuddin Abdul Rahim serta Pengurus Invest Johor, Sarkawi Zainal Abidin.

 

Onn Hafiz berkata, Singtel juga mempamer prestasi sebagai syarikat keempat terbesar mengikut permodalan pasaran yang disenaraikan di Bursa Singapura (SGX).

 

“Singtel adalah pengendali rangkaian mudah alih terbesar di Singapura, dengan 4.1 juta pelanggan, serta melalui anak syarikat lainnya mempunyai pangkalan pelanggan mudah alih lebih 775 juta pelanggan dalam lebih 20 buah negara,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor