SULTAN JOHOR SANGGUP MENYAMAR JADI RAKYAT BIASA
Oleh Badrul Kamal Zakaria, Farhanah Haziqah Noh, Suhana Mohd Arifin dan Farhan Khair
Kelazatan air minuman campuran pelbagai herba terpilih ‘Beyh Royale’ sememangnya tidak dapat dinafikan, apatah lagi ia turut menjadi sajian ‘selamat datang’ kepada tetamu yang berkunjung ke Istana Johor sejak era pemerintahan Almarhum Sultan Sir Abu Bakar lagi.
Resepi rahsia yang dimulakan oleh Almarhumah Sultanah Khatijah itu kini dipermodenkan semula sekitar 2004 oleh Beyh Royale yang turut mendapat perkenan dan keizinan daripada Almarhum Sultan Iskandar dan juga DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar itu terus menjadi minuman kegemaran istana.
Minuman yang sudah menjangkau hampir dua abad itu mempunyai keunikan tersendiri apabila pengusahanya, Husnul Hadi Md Noh, 57, pernah berinteraksi dengan Baginda Sultan Ibrahim dengan cara yang agak unik dan tersendiri terutama ketika awal penubuhan syarikat minuman berkenaan.
Menyorot kembali detik itu, Husnul Hadi memberitahu, ketika itu DYMM Sultan Ibrahim yang masih lagi bergelar Tunku Mahkota Johor tidak begitu mengambil tahu mengenai minuman yang dipelopori oleh almarhumah nendanya tetapi ia berubah sejak Almarhum Sultan Iskandar berada dalam keadaan gering.
“Ketika itulah, Baginda Tuanku Sultan mula mengambil tahu. Pada awalnya, tuanku menyamar menjadi ‘Encik Hassan’ ketika berhubung dengan isteri saya. Menerusi perbualan telefon itu, tuanku bertanyakan mengenai Beyh Royale serta harga produk kami. Tidak lama selepas itu, orang rumah saya memberitahu yang menelefon itu sebenarnya ialah ‘Tunku Yem’ (panggilan mesra Baginda Sultan Johor ketika itu).
“Tidak lama selepas itu, saya dititahkan mengadap dengan membawakan sekali produk Beyh Royale ini untuk diceritakan kepada tuanku. Kiranya saya antara insan kerdil yang bertuah kerana ‘dua kali mendapat keizinan dan perkenan’ untuk memasarkan minuman penuh khazanah ini. Perkenan pertama ialah daripada Almarhum Sultan Iskandar dan juga daripada DYMM Sultan Ibrahim,” katanya kepada Media Digital Johor.
Umpama bulan jatuh ke riba, Husnul Hadi, walaupun gementar tetapi jiwanya penuh keterujaan kerana berpeluang mengadap DYMM Sultan Ibrahim.
“Kita rakyat biasa dan tidak pernah mengadap sebelum ini tidak tahu sama ada perlu mengangkat sembah hormat atau pun tidak, sehinggalah Baginda Tuanku Sultan bertitah kepada saya supaya jangan sembah saya kerana saya bukan patung hingga secara tidak sedar baginda sangat merendah diri walaupun diri baginda adalah Sultan Johor yang memerintah negeri ini.
“Apabila tuanku bertitah sebegitu, saya tidak berkata apa-apa lagi. Selagi tuanku tidak duduk, saya tidak duduk. Jika tuanku sedang bertitah, saya akan tunggu tuanku berhenti bertitah, baharulah saya bercakap kerana sebagai rakyat biasa, saya juga agak kurang arif tentang protokol istana,” katanya.
Ditanya mengenai minuman Baginda Tuanku Sultan, beliau memberitahu DYMM Sultan Ibrahim selalu menggunakan minuman Beyh Royale dari jenis ‘Sparkling’ dan ‘RnD Sparkling’. Kedua-dua minuman ini sebenarnya adalah hasil daripada keputusan baginda terutama dari segi rasanya. Jika perlu diubah, Baginda Tuanku akan menitahkan dimana yang lebih dan yang kurang mengikut citarasa baginda,” katanya.
#SultanBerjiwaRakyat
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor