PUJI TINDAKAN RESPONSIF KERAJAAN NEGERI


Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Skudai, Marina Ibrahim (kiri) bersama Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi meninjau keadaan flat Taman Jaya, Skudai. | Foto ihsan FB Marina Ibrahim

 

Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Skudai, Marina Ibrahim memuji tindakan responsif Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi setiap kali isu rumah pangsa daif dibangkitkan terutama di kawasan diwakilinya.

 

Kerajaan Johor menerusi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta jabatan dan agensi berkaitan akan segera bertindak membantu pada kadar segera.

 

Bagaimanapun, mendepani cabaran isu rumah pangsa daif di Skudai, Marina mengesyorkan agar Akta Pengurusan Strata 2013 dapat dikaji semula sekiranya mahu menyelesaikan permasalahan untuk jangka masa panjang.

 

Selain itu, beliau juga mencadangkan supaya satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji isu berkaitan rumah pangsa di negeri ini, seterusnya hasil kajian diangkat ke peringkat Kerajaan Persekutuan untuk penyelesaian.

 

Untuk rekod, kebanyakan rumah pangsa di kawasan Skudai berusia hampir 40 tahun dan di antara struktur bangunan tidak selamat didiami kerana sudah uzur yang memerlukan perhatian daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk diselenggara serta dibaik pulih.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor