TAK SANGKA DYMM SULTAN JOHOR BANTU KAMI


Sapuan Amat, peniaga alat tulis yang mendapat perhatian daripada DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor ketika kedai yang disewanya musnah dalam kebakaran pada 2022. | Foto MDJ Dania Farisya

 

Setiap kepahitan pasti akan ada kemanisan. Itulah yang berlaku kepada lima pemilik perniagaan yang mengalami kerugian apabila deretan kedai yang disewa mereka di Felda Ulu Tebrau musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 4.30 pagi, 25 Mac 2022 lalu.

 

Kebakaran yang dikenal pasti berpunca daripada litar pintas itu menyebabkan banyak barangan dan peralatan peniaga berkenaan tidak dapat diselamatkan kerana ia berlaku pada awal pagi dimana semua penduduk sedang tidur. Ia sekali gus menjejaskan sumber pendapatan peniaga berkenaan.

 

Bagaimanapun keresahan peniaga berkenaan tidak berpanjangan apabila keluh kesah mereka mendapat perhatian daripada DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor dan turut berkenan untuk membiayai semula kos pembinaan premis perniagaan berkenaan.

 

Peniaga Alat Tulis, Sapuan Amat, 48, berkata beliau dan peniaga lain tidak menyangka musibah yang sedang dihadapi mereka boleh dikatakan bertukar menjadi rahmat apabila mendapat perhatian daripada Baginda Tuanku Sultan sekali gus memberi semula sinar kepada mereka, lebih-lebih lagi keadaan negara dalam proses keluar daripada cengkaman pandemik Covid-19.

 

“Sebenarnya kami memang terkejut tetapi bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Tuanku Sultan kerana mengambil berat keadaan kami yang juga rakyat baginda. Kami berasa amat lega kerana Tuanku Sultan turut berkenan membina semua premis kedai ini… kalau dahulu ada lima pintu, Tuanku tambah satu lagi lot kedai menjadikan ia enam lot kesemuanya bila ia sudah disiapkan. Malah, reka bentuknya juga adalah ilham daripada tuanku sendiri.

 

“Tidak cukup dengan itu, Tuanku Sultan juga amat bermurah hati dengan menghulurkan sumbangan wang tunai kepada kami. Alhamdulillah, menerusi keprihatinan tuanku, dapatlah kami membina semula perniagaan seperti sebelumnya yang juga punca pendapatan kami,” katanya yang sudah menjalankan perniagaan di premis terbabit sejak 2006.

 

Sapuan berkata, pihaknya amat bersyukur kerana bernaung di bawah pemerintahan Sultan yang prihatin dan pada masa sama turut mendoakan supaya DYMM Sultan Ibrahim dan Kerabat DiRaja Johor sentiasa berada dalam lindungan rahmat Allah.

 

#BangsaJohor

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor