KELUARGA DIRAJA JOHOR PRIHATIN ASPEK KESIHATAN RAKYAT


Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor mesra santuni rakyat dari pelbagai lapisan umur. | Foto Royal Press Office

 

Sejak sekian lama Keluarga DiRaja Johor senantiasa menitik beratkan aspek kebajikan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini. Tidak terkecuali tumpuan diberikan kepada perkhidmatan kesihatan dan perubatan awam. Keluarga DiRaja Johor sangat memberikan perhatian kepada sektor penjagaan kesihatan yang merupakan elemen penting dalam meningkatkan kualiti dan taraf kehidupan rakyat di Malaysia dan Negeri Johor khususnya.

 

Ia mencakupi aspek penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan cekap yang disediakan menerusi ketersediaan fasiliti-fasiliti daripada hospital hinggalah klinik kesihatan dan klinik desa, dengan penjagaan kesihatan yang komprehensif. Untuk rekod, sepanjang tempoh pandemik COVID-19 sahaja, Keluarga DiRaja Johor telah mengurniakan lebih RM123 juta yang merangkumi pelbagai jenis sumbangan untuk kira-kira 1.6 juta penerima.

 

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM3.18 juta sahaja adalah bantuan kesihatan yang memberi manfaat kepada hampir 32,000 penerima. Kesemua kurniaan sumbangan diserahkan sama ada secara terus mahupun menerusi Yayasan-Yayasan DiRaja Johor iaitu Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ), Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ), Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ), Yayasan Sultanah Rogayah (YSR) dan Yayasan Sultanah Fatimah (YSF).

 

 

Di samping itu, DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pernah bertitah menasihati rakyat supaya tidak berasa ragu mendapatkan suntikan vaksin bagi membendung COVID-19 yang secara langsung merupakan suatu bentuk sokongan moral daripada Raja kepada rakyatnya. Begitu juga DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menggerakkan sukarelawan Southern Volunteers (SV) untuk membantu melancarkan pengoperasian pemberian vaksin kepada rakyat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

 

Kemuliaan hati DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang sentiasa cakna terhadap kemudahan fasiliti kesihatan awam amatlah jelas apabila turut memberikan perhatian terhadap soal baik pulih bangunan sedia ada, pembinaan hospital baharu termasuklah Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA 2) dan Hospital Pasir Gudang. Manakala, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor juga senantiasa memantau dengan rapat perkembangan kesihatan di Negeri Johor dengan mengadakan lawatan ke hospital-hospital kerajaan serta menyampaikan kurniaan peribadi.

 

Keprihatinan terhadap sektor kesihatan di negeri ini, menjadi cerminan sifat kasih dan sayangnya Keluarga DiRaja Johor terhadap aspek kebajikan dan kesejahteraan rakyat yang holistik. Sesungguhnya, seluruh Bangsa Johor berasa amat bertuah dan berbangga kerana memiliki Keluarga DiRaja yang sentiasa mengambil berat tentang kehidupan rakyat dalam segenap aspek sekali gus menterjemahkan istilah ‘Raja Berdaulat Memayungi Rakyat’. Allah Peliharakan Sultan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor