TANJAK PENYERI BUSANA AIDILFITRI


Aksesori tanjak yang masih menjadi pilihan orang ramai khususnya daripada golongan muda. | Foto MDJ Dania Farisya

 

Pemakaian tanjak masih menjadi pilihan dan trend untuk digayakan seterusnya melengkapkan busana tradisional Melayu bagi golongan lelaki ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri sehingga ke hari ini.

 

Turut dikenali dengan destar dan tengkolok, pemakaian tanjak juga popular dalam kalangan orang muda bukan sekadar penghias di kepala malah kebanggaan terhadap adat dan warisan Melayu.

 

Pada zaman dahulu, pemakaian tanjak mempunyai makna tersendiri seperti melambangkan status sosial dalam masyarakat Melayu selain tanda pengenalan atau asal usul kedaerahan seseorang.

 

Mohd Iskandar Abd Rahim, 48, pembuat tanjak Johor menjelaskan aksesori itu diperbuat dari kain empat segi tepat yang kemudiannya dilipat menjadi kain tiga sisi disebut sebagai kain dasar atau kain gulungan.

 

Kemudian, disusuli dengan lipatan tapak dan lipatan bengkung sebelum diakhiri empat kali lipatan dan dimatikan beberapa jenis simpulan antaranya simpul garam sebuku, ketupat makassar dan ketupat palas.

 

Menurut beliau, semua tanjak yang dihasilkan bergantung kepada karangan seperti diminta pelanggan antaranya bentuk atau solekan Ayam Patah Kepak.

 

Selain itu, Mohd Iskandar juga ada menghasilkan tanjak Anderiguru Selebu, Lang Melayang Pantai Timur, Semangat Bugis, Mahkota Alam, Takur Tukang Besi dan Bugis Tak Balik.

 

Penuntut Persatuan Penggiat Seni Alam Melayu (PERNILAM) dan Penggiat Akademi Seni Tradisional Warisan Melayu itu memaklumkan pembikinan tanjak mempunyai falsafah tersendiri.

 

Selain tanjak, beliau juga menerima tempahan jahitan busana tradisional Melayu sedondon seperti pakaian masyarakat zaman dahulu yang berwarna-warni dan pakaian berhias bangsawan.

 

ART OF JOHOR BY FIDAR ENTERPRISE

Waktu Operasi:
🗓 Setiap Hari
🕛 Jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang
📍 Wakaf 3, Perkampungan Kraf, Kompleks Kraftangan Johor, Jalan Cenderasari, Off, Jln Datin Halimah, Larkin, 80350 Johor Bahru, Johor

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor