TIADA ‘ORANG TENGAH’ URUSAN PERUMAHAN – EXCO KERAJAAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor memberitahu kerajaan negeri tidak melantik orang tengah untuk berurusan atau menerima bayaran bagi mendapatkan rumah.

 

JOHOR BAHRU — Kerajaan Johor tidak pernah melantik mana-mana ejen perseorangan atau orang tengah untuk berurusan tawaran mendapatkan rumah di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, kerajaan negeri juga tidak mengenakan sebarang bayaran untuk permohonan rumah.

 

Menurut beliau, ingatan itu diberikan susulan aduan daripada mangsa yang diterima oleh pihaknya berhubung tawaran kediaman oleh pihak tertentu dengan sejumlah bayaran deposit dikenakan.

 

“Broker ini ambil duit deposit RM2,000 (atau) RM3,000 ini, kata akan ada rumah untuk diberi. Tetapi hakikatnya mereka ini adalah sindiket penipuan.

 

“Di peringkat kerajaan, kita buat laporan polis. Kita minta Ketua Polis Johor untuk menyiasat beberapa laporan. Kita beritahu kepada mangsa-mangsa ini untuk membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jom Turun@PPR di Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang, hari ini.

 

Turut hadir, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Datin Paduka Dr. Suhailizan Suliman.

 

Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri melalui PKPJ turut ada membuat semakan ke atas nama ejen perseorangan atau orang tengah diberitahu mangsa.

 

Bagaimanapun, ujar beliau, semakan mendapati nama pegawai-pegawai yang dimaklumkan oleh mangsa adalah tidak wujud.

 

“Daripada laporan polis yang pejabat EXCO terima lebih kurang empat (laporan). Rupanya bila polis buat siasatan, lebih kurang dalam 19 laporan (diterima dari) berbagai tempat melibatkan kerugian RM122,000.

 

“Suspek utama telah ditangkap dan telah pun dituduh ke mahkamah, tetapi mengaku tidak bersalah. Beberapa kes lagi akan dituduh ke atas suspek yang sama juga. Dia ada seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun,” katanya.

 

Justeru, ADUN Bukit Permai mengingatkan orang ramai tidak tertipu sekiranya diberitahu terdapat ejen perseorangan atau orang tengah yang boleh membantu mendapatkan kediaman dengan melibatkan bayaran.

 

Sebaliknya, pemohon yang berjaya hanya dikenakan bayaran RM20 ketika membuat tuntutan Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR) sekali gus tiada sebarang kos ketika membuat permohonan.

 

“Mohon melalui sistem e-Rumah.johor.gov.my. Kalau tidak faham macam mana hendak mohon, datang ke pejabat (perumahan) kita akan ajar macam mana (hendak) buat,” katanya.

 

Terdahulu, Mohd Jafni menyempurnakan perasmian Jom Turun@PPR bagi menggalakkan penyewa PPR dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) membayar sewaan masing-masing.

 

Antara pendekatan yang diketengahkan adalah pembayaran sewa secara atas talian atau ‘online’ melalui JohorPay, inisiatif tanpa perlu ke kaunter bayaran PKPJ.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor