UOB PERKENAL ‘GREEN LANE’, SOKONG JOHOR SUPER LANE

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyaksikan pemeteraian antara UOB Malaysia bersama Invest Johor. | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) terus menerima sokongan kukuh pemain industri terutama sektor perbankan apabila United Overseas Bank (UOB) Malaysia melancarkan inisiatif ‘Laluan Hijau’ bagi merancakkan kemasukan pelaburan dan menyokong pelaksanaan Johor Super Lane oleh Kerajaan Negeri.
Inisiatif dilancarkan enam bulan selepas UOB Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Invest Johor pada Persidangan ASEAN di Singapura itu bakal menambah baik proses mempercepatkan pelaburan sekali gus menjadikan JS-SEZ sebagai destinasi utama pelaburan mampan.
Inisiatif laluan hijau oleh UOB telah berjaya menarik pelaburan dianggarkan bernilai RM670 juta daripada Gold Peak Technology Group, syarikat peneraju global dalam teknologi bateri dan penyimpanan tenaga dari Hong Kong yang bakal mendirikan fasiliti pembuatan serta pusat penyelidikan di dalam kawasan JS-SEZ.
Selain itu, UOB turut memberi komitmen bagi menyokong agenda memudahcara pelaburan menerusi perkhidmatan Pembukaan Akaun Fast Lane kepada pemain industri di Singapura yang ingin menembusi JS-SEZ serta menubuhkan meja khusus untuk memberi sokongan penyelesaian kewangan dan kemasukan pasaran.
Pelancaran laluan hijau itu dijangka menjadi pemangkin kepada lebih banyak pelaburan berkualiti dan bernilai tinggi ke JS-SEZ seterusnya mengukuhkan kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini, yang bakal mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan premium.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diiringi YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor hadir pada program Business Conference “Essential Insight: Investing in JS-SEZ” di Sunway Hotel Big Box, Iskandar Puteri, hari ini.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor