‘WAK CEMPLOK’ TERIMA ANUGERAH SENI DAKSINA 2023


Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris menyempurnakan penyampaian anugerah kepada penerima-penerima Anugerah Pendukung Seni Budaya, hari ini. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Anugerah Seni Budaya Negeri (ASBN) Johor 2023 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengangkat anak jati Parit Raja, Batu Pahat, Miskon Karim, 79, sebagai penerima anugerah utama, Anugerah Seni Daksina.

 

Mula bergiat aktif sejak usia 16 tahun, Miskon dikenali sebagai ‘Wak Cemplok’ menceburi pelbagai seni budaya tempatan seperti Kesenian Gamelan Jawa, Kuda Kepang, Barongan, Wayang Kulit Purwa serta Wayang Wong.

 

Satu-satunya ‘Tok Dalang’ yang masih aktif di Negeri Johor, beliau memberitahu anugerah yang diterima itu menguatkan lagi tekad dan azamnya untuk terus berbakti kepada masyarakat melalui kesenian dan kebudayaan.

 

ASBN Johor 2023 berlangsung hari ini, menyaksikan lima anugerah disampaikan iaitu Anugerah Pendukung Seni Budaya (NGO Melayu), Anugerah Pendukung Seni Budaya (NGO Cina), Anugerah Pendukung Seni Budaya (NGO India), Anugerah Bakat Muda Seni Budaya dan Anugerah Seni Daksina.

 

Hadir menyempurnakan penyampaian anugerah adalah Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris. Turut hadir, Pengarah JKKN Negeri Johor, Rahmat Md. Noh.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor