11 LOKASI KEROSAKAN AKAN DIBAIKI TAHUN INI


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh meninjau tapak projek pembaikan jalan FT1003 Johor Bahru di Jalan Tebrau, Kota Tinggi / Sumber gambar Facebook Fazli Salleh.

 

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 11 lokasi kerosakan di Jalan Tebrau FT003 akan dibaiki melibatkan kos RM14.4 juta, bermula Mac hingga Disember ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kesemua lokasi itu melibatkan Jalan Persekutuan.

 

“Mengikut laporan yang saya terima, sebanyak 15 lokasi kerosakan direkodkan oleh JKR (D) Kota Tinggi sepanjang jalan ini.

 

“Daripada jumlah itu sebanyak 11 lokasi akan dibaiki pada tahun ini bermula Mac sehingga Disember 2023 dengan jumlah kos RM14.4 juta,” katanya selepas meninjau kerja pembaikan Jalan Tebrau FT003 Seksyen 164.4-162.8km.

 

Turut hadir dalam tinjauan berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Rashidah Ismail dan Jurutera Daerah JKR (D) Kota Tinggi, Ir. Ts. Mazman Mohamad.

 

Kesemua 11 lokasi terbabit adalah Seksyen 80.1-83.5 km (UM Plantation Sdn. Bhd.); Seksyen 74.8-75.9 km (Jalan Jemaluang); Seksyen 51.6-70.0 km (Balai Polis Mawai); Seksyen 32.1-36.5 km (Jalan Kota Tinggi); Seksyen 39.4-48.8 km (Petronas Kota Tinggi); Seksyen 23.1-30.8 km (BHP Kota Tinggi); Seksyen 32.3-37.0 km (Kuil Sri Maha Mariaman); Seksyen 79.2-83.6 km (UM Plantation Sdn. Bhd.); Seksyen 51.6-68.8 km (Jalan Jemaluang); Seksyen 39.5-46.8 km (Petron Jalan Mawai) serta Seksyen 23.1-30.8 km (Sempadan JB – Kota Tinggi).

 

Selain itu, Mohamad Fazli turut memberitahu semua jenis kerosakan akan dibaiki, namun bergantung kaedah dan peruntukan diterima.

 

Ujarnya, antara kaedah yang akan digunakan adalah ‘Cold In-Place Recycling’ (CIPR), ‘Mile and Pave’ (MP) dan ‘Overlay’ sekali gus menjadikan tempoh dan masa pembaikan berbeza antara satu sama lain.

 

“Saya memantau secara rapat kerja-kerja pembaikan jalan raya diseluruh negeri Johor demi keselamatan dan keselesaan pengguna.

 

“Diharapkan para pengguna jalan raya dapat bersabar serta mematuhi arahan papan tanda demi keselamatan kita semua,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor