DYMM SULTAN JOHOR SENTIASA CAKNA RAKYATNYA


Ketua Kampung Parit Sakai, Ahmad Raof Kayat berkata DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar amat prihatin terhadap keadaan semasa rakyatnya. | Foto MDJ Hafez Azhar.

 

“Jika tuanku pulang ke Muar dan bertemu dengan pemimpin tempatan, perkara pertama yang akan terbit daripada mulut baginda ialah ‘bagaimana keadaan rakyat saya?’,” kata Ketua Kampung Parit Sakai, Ahmad Raof Kayat.

 

Ahmad Raof memberitahu, keprihatinan Baginda Tuanku Sultan itu menyebabkan bukan sahaja menimbulkan rasa segan dari kalangan pemimpin setempat tetapi turut menimbulkan rasa kasih rakyat kepada DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

 

“Tuanku sentiasa ambil tahu mengenai hal ehwal rakyatnya dan turut menekankan betapa pentingnya muafakat Bangsa Johor. Ini dapat dibuktikan dengan keberangkatan baginda ke Parit Keroma beberapa tahun lalu dan ketika bertemu dengan saya, tuanku titah bertanyakan keadaan semasa rakyat baginda. Pasal makan pun tuanku tanya adakah ada apa-apa masalah.

 

“Selain daripada bertanyakan khabar, tuanku juga sentiasa membantu rakyat menerusi pemberian bantuan barangan keperluan yang disalurkan menerusi yayasan-yayasan diRaja Johor,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor.

 

Ahmad Raof berkata, perkara itu membuatkan rakyat bertambah kasih terhadap Baginda Tuanku Sultan dan pada masa sama menyebabkan pegawai atau pihak bertanggungjawab di daerah ini akan turut mengambil berat tentang permasalahan yang dihadapi oleh rakyat di negeri ini.

 

“Tidak cukup dengan itu, Baginda Tuanku Sultan turut menghantar beberapa pegawai baginda untuk memantau perkembangan terkini rakyat termasuklah projek inisiatif yang dibangunkan untuk kepentingan Bangsa Johor.

 

“Ini menyebabkan Bangsa Johor sememangnya terbela di bawah naungan DYMM SUltan Johor. Alhamdulillah, saya secara peribadi pun turut mencontohi baginda apabila turut memperuntukkan wang sendiri untuk membeli barangan keperluan yang dikhaskan untuk membantu masyarakat setempat jika mereka mengalami kesempitan atau berlaku bencana yang tidak diingini,” katanya.

 

#SultanBerjiwaRakyat
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor