BERSEDERHANA KETIKA NIKMATI JUADAH RAYA
Bila sebut hari raya, tidak lengkap kalau ketupang, lemang, rendang, lodeh, kuah kacang, wajik, dodol dan aneka kuih muih tiada atas meja untuk dijadikan santapan Aidilfitri.
Setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan, ada yang menganggap lebaran masa untuk ‘balas dendam’ dengan menikmati pelbagai juadah. Tetapi, awas dan berwaspadalah bimbang diserang penyakit pula.
Menurut Dr. Mohd Fadri Abdullah @ Harun, masyarakat termasuk mereka yang ada masalah kesihatan perlu mengetahui keadaan kesihatan diri kerana aspek pemakanan sering diketepikan ketika perayaan.
Pakar Perubatan Dalaman Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn itu memberitahu adalah penting untuk mengawal dan menjaga pemakanan masing-masing bagi mengelak kemudaratan pada diri.
Sebagai contoh, pesakit kencing manis sekiranya mengambil makanan dengan kandungan gula yang tinggi akan menyebabkan paras gula dalam badan juga tinggi.
Bagaimanapun, bagi individu normal juga dinasihatkan supaya menitikberatkan pengambilan makanan secara sihat kerana pemakanan hari ini akan memberi kesan terhadap kesihatan diri pada masa akan datang.
Dr. Mohd Fadri turut memberitahu golongan yang biasa dikejarkan ke hospital kerana pemakanan tidak terkawal ketika perayaan adalah mereka yang tidak ambil tahu tahap kesihatan semasa masing-masing.
Ini kerana golongan terbabit tidak mengetahui bahawa mereka sudah mempunyai masalah kesihatan seperti kencing manis dan darah tinggi hanya kerana merasakan dirinya sihat serta tidak bergejala.
Atas sebab itu, masyarakat disarankan melakukan pemeriksaan kerana terdapat pesakit tidak sedar mereka mempunyai masalah kesihatan dan kebiasaannya sudah berada pada tahap serius apabila diagnosis penyakit.
Justeru, mereka yang berisiko dan mempunyai masalah kesihatan perlu sentiasa memantau dengan melakukan pemeriksaan kendiri selain mendapatkan sokongan daripada keluarga masing-masing.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor