KINI LEBIH MUDAH DAPAT PEMBIAYAAN PERUMAHAN
Strategi pelaksanaan inisiatif ‘J-Home One Stop Center’ oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) dalam membantu Bangsa Johor untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) memberi impak memberangsangkan apabila jumlah permohonan yang berjaya mencatatkan peningkatan signifikan.
Inisiatif yang dilaksanakan menerusi usahasama pelbagai institusi kewangan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) telah berjaya meluluskan 3,047 permohonan pembiayaan pada tahun lalu berbanding hanya 528 permohonan yang berjaya pada 2022, sekali gus mencatatkan 5,147 jumlah keseluruhan permohonan yang diluluskan sejak 2021.
Jumlah itu secara tidak langsung menjadikan Johor sebagai negeri yang mencatat jumlah penawaran pembiayaan tertinggi di bawah skim SJKP dengan jumlah pembiayaan menghampiri angka RM890 juta dalam tempoh tiga tahun menerusi kadar maksimum pembiayaan sehingga RM300,000.
Lebih menarik, ia juga telah memudahkan kumpulan pemohon yang mempunyai pendapatan tidak tetap seperti golongan petani, peniaga kecil, mereka yang bekerja sendiri atau ‘freelancer’ serta pekerja sektor ekonomi ‘gig’ untuk memiliki rumah idaman sendiri menerusi ekosistem permohonan yang mudah dan fleksibel menerusi inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri.
Selain itu, Kerajaan Negeri menerusi PKPJ dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ) juga tidak mengabaikan golongan Bangsa Johor yang kurang bernasib baik untuk turut sama memiliki kediaman mereka sendiri menerusi inisiatif pembinaan 120 unit Rumah Kasih Johor (RKJ) pada tahun ini.
Bagi tujuan itu, sebanyak RM17 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif murni itu dan pada masa sama menyokong usaha Kerajaan Johor mencapai sasaran iaitu membina 500 unit RKJ menjelang 2026 bagi memenuhi keperluan teras Jaringan Keselamatan Sosial yang terkandung dalam Belanjawan Johor 2024.
Beberapa penambahbaikan juga akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi mengoptimumkan penggunaan peruntukan berkenaan supaya manfaatnya dirasai lebih ramai penerima yang akan melibatkan penelitian semula reka bentuk, spesifikasi dan kos pembinaan RKJ demi keselesaan penghuninya.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan Negeri Johor menjawab soalan YB Sahrihan Jani, Ahli Dewan Negeri (ADN) Gambir berhubung langkah memudahkan pembiayaan RMMJ dan soalan tambahan YB Dato’ Zulkurnain Kamisan ADN Sri Medan berkait perancangan menambah unit RKJ.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor