KEUPAYAAN PUSAT PENGUMPULAN, PEMPROSESAN ‘RAJA BUAH’ FAMA DITINGKATKAN
Kerajaan Negeri berhasrat menaik taraf fasiliti dan teknologi Pusat Pengumpulan dan Pemprosesan Durian di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Tangkak pada tahun ini, dengan cadangan tersebut telah dimajukan serta dipersetujui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Bakal menjadi pusat pengumpulan dan pemprosesan durian dikeluarkan sekitar Tangkak, Muar dan Segamat, projek pemerkasaan itu akan dioperasikan secara kerjasama strategik bersama pihak swasta di mana setakat ini, sebuah syarikat bersetuju membuat pelaburan sebanyak RM2 juta.
Pelaksanaan projek itu melibatkan kerja menaik taraf bangunan dan fasiliti selain pembekalan sistem nitrogen dan peralatan operasi di Pusat Pengumpulan dan Pemprosesan Durian FAMA yang dijangka bermula Jun ini dan beroperasi pada tahun hadapan.
Dengan menaik taraf pusat tersebut, keupayaan memproses durian sejuk beku akan meningkat kepada kira-kira 12 tan metrik sehari, 360 tan metrik sebulan dan 4,320 tan metrik setahun berbanding 2 tan metrik sehari dan penyimpanan hanya 22 tan metrik isi buah terbabit dalam satu masa.
Pusat Pengumpulan dan Pemprosesan Durian FAMA di Tangkak diwujudkan bagi meningkatkan produktiviti penghasilan pemprosesan durian sejuk beku, pengeluaran eksport ke luar negara, jangka hayat produk lebih lama dan berkualiti sekali gus dapat dipasarkan sepanjang tahun termasuk di luar musim.
Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menjawab soalan YB Ee Chin Li, Ahli Dewan Negeri (ADN) Johor kawasan Tangkak berkaitan status terkini dan prestasi pusat pengumpulan hasil durian pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor