NILAI TAMBAH PRODUK EKOPELANCONGAN


Pusat Kecemerlangan Perhutanan Suaka Burung Panti, Kota Tinggi. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Trend mencari ketenangan dengan menikmati kekayaan khazanah alam semula jadi sebagai terapi daripada kesibukan bandar semakin digemari masyarakat sekali gus melonjakkan produk ekopelancongan termasuklah Taman Eko Rimba di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negeri Johor.

 

Bagi menyediakan infrastruktur yang selesa dan kondusif kepada pengunjung bagi menjalankan aktiviti tersebut, pihak jabatan menerima RM1.2 juta daripada Kerajaan Negeri menerusi Pejabat Menteri Besar Johor pada tahun ini.

 

Peruntukan itu bagi kerja menaik taraf infrastruktur seperti pembinaan pintu gerbang, tandas awam dan pos kawalan di Taman Eko Rimba Gunung Pulai, Kulai serta bilik tayang di Pusat Kecemerlangan Perhutanan Suaka Burung Panti, Kota Tinggi yang hampir siap 100 peratus.

 

Berkongsi perkembangan positif berkenaan, YBhg. Dato’ Salim Aman, Pengarah Perhutanan Negeri Johor menghargai peruntukan diberikan malah sentiasa bersedia memberikan komitmen merancakkan sektor pelancongan sekali gus menjayakan Tahun Melawat Johor 2026.

 

Menerusi Belanjawan Johor 2024 juga, kerja menaik taraf fasiliti sedia ada di Taman Eko-Rimba Gunung Belumut, Kluang serta Taman Eko-Rimba Sungai Bantang, Segamat berjumlah RM1.7 juta juga kini sedang giat dilaksanakan.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM100,000 untuk menaik taraf trek dan membaik pulih kerosakan jambatan serta menara pandang Taman Eko Rimba Soga Perdana atau Bukit Soga, Batu Pahat yang akan dilaksanakan mulai Julai dan dijangka siap Oktober tahun ini.

 

Jabatan Perhutanan Negeri Johor juga komited menganjurkan pelbagai program bagi menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara seperti Trans QJM Gunung Pulai Ultra 2024 yang akan disertai 1,027 peserta berlangsung di Taman Eko Rimba Gunung Pulai 1 hujung minggu ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor